|
Gambar hiasan |
REMBAU – Empat penjenayah dengan salah seorang
bersenjata parang bukan sahaja menyamun sepasang suami isteri yang bekerja di
sebuah ladang ternakan, malah turut melarikan 19 ekor lembu termasuk seekor
yang diberi nama 'Boroi'.
Boroi itu menjadi kesayangan pemiliknya kerana
pernah memenangi tempat naib johan pertandingan lembu cantik (kategori lembu
pedaging) sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2009.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu,
mangsa, Robe Iskandar, 25, dan isterinya, Evi Mansor, 25, mengalami kerugian
apabila barang kemas bernilai RM3,000 dan wang tunai RM750 dilarikan perompak
tersebut.
Menurut Robe, ketika kejadian, dia yang sedang
lena tidur terkejut apabila pintu bilik mereka digegarkan sebelum dilemparkan
tong gas.
Katanya, sejurus
kemudian seorang penyamun bertopeng masuk dan membuka pintu bagi membolehkan
tiga lagi penyamun masuk ke dalam bilik berkenaan.
“Mereka mengikat kami dengan kain pelekat dan
turut mengacukan parang panjang ke arah kami serta mengambil barang kemas dan
wang tunai," katanya.
Robe berkata, bimbang sekiranya penyamun
berkenaan mengangkut kesemua 33 lembu ternakan di ladang berkenaan, dia
mendapat helah dengan menyatakan kepada penyamun bahawa ada pekerja lain akan
datang ke ladang berkenaan sebelum jam 5 pagi bagi kerja-kerja memotong kambing.
“Saya lihat penyamun berkenaan berbisik dengan
rakannya dan mereka kelihatan ingin cepat. Setelah saya yakin mereka melarikan
diri, saya berusaha menanggalkan ikatan dan berlari meminta pertolongan ke
rumah jiran berdekatan sebelum membuat laporan polis," katanya.
Sementara itu, pemilik ladang berkenaan,
Kamarulzaman Budin, 55, berkata, kejadian itu adalah pertama kali berlaku sejak
dia memulakan operasi ladang seluas lapan hektar sejak 1998.
"Kerugian setakat ini dianggarkan
RM60,000," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi
Superintend Mizan Md Dom mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes kini
sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
Sumber:sinarharian