Selasa, 8 Mac 2011

Terkejut jumpa dua bom lama

PANTAI REMIS – Seorang penduduk Kampung Sungai Batu, dekat sini terkejut apabila menemui dua bom yang dikatakan masih aktif dan boleh meledak pada bila-bila masa. 

Azhman Ahmad, 46, berkata, dia menemui bom itu di Teluk Senangin dekat sini, di sebuah kawasan lombong tinggal ketika mencari daun palas petang kelmarin. 

Menurutnya, pada awalnya dia tidak menyangka dua besi itu adalah bom sehingga mendorongnya membawa pulang ke rumah. 

“Saya langsung tidak menyangka atau syak dua besi yang saya bawa balik dari Teluk Senangin ini adalah bom. 

“Pada mulanya saya sangka ia hanya besi biasa dan bercadang untuk membuat perhiasan berikutan bentuknya agak menarik pada pandangan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

90 bungkus air ketum dirampas

SERI ISKANDAR - Sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Perak Tengah berjaya merampas sebanyak 90 bungkus air daun ketum dalam Ops Tapis yang dilakukan 2 Mac lalu di Kampung Gajah, di sini. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan seorang penjual air ketum berjaya diberkas setelah pihaknya membuat intipan. 

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan pada jam 2.45 petang itu, suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memegang satu bungkusan plastik hitam yang disembunyikan di celah pelepah kelapa sawit. 

Promosi Rakan Cop digiatkan

RIMBA TAQWA - Usaha mempromosikan keahlian Rakan Cop dalam kalangan orang awam terus ditingkatkan bagi memupuk kesedaran membantu pihak polis menyalurkan sebarang maklumat. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, Cif Inspektor Fauzeli Mohd Ali, berkata, penglibatan masyarakat penting bagi membanteras pelbagai kegiatan jenayah berlaku. 

Menurutnya, pihaknya juga sedia memberikan kerjasama dengan pihak lain untuk meluaskan lagi pengetahuan kepada umum mengenai langkah pencegahan jenayah dan tindakan sewajarnya bagi membantu mangsa jenayah. 

Belasah seorang pelajar Tingkatan Tiga gara-gara kehilangan wang RM500

TAMPIN – Seramai 10 pelajar di sebuah institut tahfiz di sini ditahan polis selepas berlagak samseng membelasah seorang pelajar, Khamis lalu. 

Kesemua pelajar berusia antara 16 dan 20 tahun itu ditahan kelmarin selepas dikatakan membelasah seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di institut sama. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang berkata, dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa dibelasah oleh tidak kurang 11 pelajar kerana kes kehilangan wang. 

“Mangsa yang ketika itu berada di asrama dipanggil untuk berjumpa di blok asrama lain dan sebaik sahaja tiba di lokasi dimaksudkan, dia disoal siasat sama ada mengambil duit RM500 milik seorang pelajar lain,” katanya. 

Konsep 4P banteras jenayah

TAMPIN - Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang sudah berkhidmat sebagai anggota polis sejak 1987 dan dalam tempoh berkenaan, banyak pengalaman diperoleh. 

Ikuti sambungan temu bual bersama beliau sempena Hari Polis ke-204 yang akan disambut pada 25 Mac ini. 

Kooi Cheang berkata, setiap profesion seharusnya mempunyai hala tuju sebagai panduan menyempurnakan tugas sebaik mungkin. 

Atas dasar itu, Kooi Cheang sentiasa menekankan kepentingan menjiwai konsep 4P iaitu Protective, Performance and outcome oriented, Proactive dan People oriented. 

Tindakan kurang sopan sepasukan pegawai dan penguat kuasa

TERACHI – Tindakan keterlaluan sepasukan pegawai dan penguat kuasa sebuah agensi kerajaan menjalankan operasi mengesan pendatang asing tanpa izin, Jumaat lalu, menimbulkan rungutan penduduk kampung. 

Penduduk mendakwa, pasukan terbabit bertindak tidak sopan semasa menjalankan operasi sehingga menyebabkan penduduk terganggu. 

Seorang penyelia ladang ternakan itik, Azrol Haris, 23, berkata, semasa operasi. dia sedang tidur lena di dalam sebuah bilik dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat dan bertalu-talu pada pintu, kira-kira 2.30 pagi. 

Kompleks jadi sarang penagih

ALOR GAJAH - Kompleks Institut Pendidikan Menggong, dekat sini, yang kini terbiar tanpa diselenggarakan dengan baik mendatangkan kebimbangan kepada penduduk sekitar kawasan. 

Kompleks tersebut yang terletak di Solok Menggong dikelilingi kawasan ladang kelapa sawit menambahkan lagi kebimbangan penduduk kerana kurangnya pengguna jalan raya yang melalui jalan terbabit terutama pada waktu malam. 

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Zailan Ismail, 40-an berkata, kompleks terbabit yang terbiar sejak dua tahun lalu menyebabkan golongan penagih dan pencuri mengambil kesempatan mencuri barangan yang terdapat di situ. 

Tiga lemas di longkang besar di Kondominium Tiara di Segambut

SHAH ALAM – Tiga pekerja termasuk seorang wanita warga Indonesia yang sedang membina longkang besar di Kondominium Tiara di Segambut, Kuala Lumpur, semalam dikhuatiri lemas apabila terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kesemua mangsa berusia 25 hingga 35 tahun itu sedang membuat kerja-kerja bersama seorang lagi rakannya. 

Penolong Kanan Penguasa Bomba Ibu Pejabat Kuala Lumpur, Rohaya Alias berkata, bagaimanapun, keempat-empat mangsa dipercayai tergelincir ke dalam longkang itu akibat hujan lebat. 

Penganggur ragut pekebun diberkas

KUANTAN - Cubaan seorang lelaki meragut wanita warga Indonesia yang baru mengeluarkan wang di sebuah bank berjaya dipatahkan apabila penjenayah itu diberkas polis dalam kejadian di persimpangan Sungai Jan dekat Jerantut, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, pekebun berusia 42 tahun itu ditolak dari belakang hingga terjatuh sebelum beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM107 dilarikan suspek. 

Ketika itu mangsa berjalan seorang diri menuju ke sebuah pasar raya selepas mengeluarkan wang di sebuah bank di bandar berkenaan. 

Tarik kayu jumpa mayat

KEMAMAN – Tindakan seorang anggota pasukan penyelamat menarik sebatang kayu dari dasar jeram memecah kebuntuan misi mencari dan menyelamat remaja lelaki berumur 19 tahun yang dikhuatiri lemas Jumaat lalu di Pusat Perkelahan dan Rekreasi Air Terjun Jeram Gajah, Air Putih, di sini. 

Ini sebab, tindakan itu rupa-rupanya menyebabkan jasad mangsa timbul ke permukaan air. 

Mayat mangsa yang tersangkut pada kayu berkenaan terapung di permukaan air sejurus kayu itu ditarik kira-kira jam 1.50 tengah hari, semalam. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam misi mencari dan menyelamat yang masuk hari keempat itu, mayat mangsa yang juga penuntut sebuah kolej swasta di daerah ini ditemui di kawasan jeram tidak jauh daripada lokasi dia terjatuh selepas ditarik arus deras. 

IPK Terengganu dekati masyarakat

KUALA BERANG - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu akan terus memberi fokus dan memperluaskan agenda berkaitan Komuniti Polising bagi mendekati masyarakat, sekali gus meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Ketua Polis Terengganu, Senior Asistan Komisioner 1, Datuk Jamshah Mustapa berkata, selaras dengan usaha itu, tumpuan akan diberikan kepada pelbagai peringkat umur termasuk mereka yang bergelar ketua keluarga memandangkan individu tersebut lebih berpengaruh dalam keluarga. 

Miliki dadah denda RM5,000

KOTA BHARU – Padah memiliki dua jenis dadah berbahaya, metamphetamine dan nimetazepam September lalu, seorang lelaki 42 tahun dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam. 

Sukri Abdullah yang beralamat di 9A, Jalan Gual bunut, Rantau Panjang itu didapati bersalah melakukan dua kesalahan itu di sebuah rumah Lot 520 Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian 20 September 2010. 

Dalam serbuan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu itu, Sukri bersalah memiliki 0.14 gram metamphetamine dan 0.50 gram nimetazepam jam 12.30 petang. 

Jangan bangkitkan isu sensitif: Tuanku Mizan


KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya. 

Titah baginda, soal kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. 

Najib Minta Penjawat Awam Jangan Cari Kepuasan Material Semata-mata

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penjawat awam agar tidak melihat kepuasan bekerja dari sudut material semata-mata tetapi sebaliknya menilai sumbangan mereka yang membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara.
“Inilah kepuasan yang paling abadi kepada diri kita apabila khidmat bakti kita itu membawa kepada kebaikan. Lebih-lebih lagi atas konsep ibadat dalam Islam yang sangat luas,” katanya.
“Bekerja bertungkus lumus dengan penuh dedikasi dan integriti adalah juga ibadat dalam Islam dan sudah pasti apa yang kita lakukan dengan ikhlas itu, InsyaAllah akan dapat ganjaran daripada Allah,” katanya pada majlis Persaraan Perbendaharaan 2011 di sini hari ini.

Saman ekor dera bukan didik rakyat - Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta kerajaan mencari pendekatan lain yang lebih sesuai berbanding saman ekor kerana ia lebih mendera rakyat bukannya mendidik.

"Sepatutnya kerajaan mendidik rakyat supaya mematuhi peraturan jalan raya bukannya mendera rakyat sebagaimana berlaku dalam kes saman ekor ini," kata beliau.

Sekurang-kurangnya dua kali beliau membangkitkan perkara ini dalam dua program berbeza. Pertama ketika bercakap kepada wartawan di Kerdau Selasa lepas dan sekali lagi ketika bercakap dengan kakitangan editorial Harakah Rabu lepas.

Beliau mengulas kesusahan yang dihadapi oleh beribu-ribu rakyat negara ini yang terpaksa beratur di balai-balai polis untuk membayar saman bagi mengelakkan kenderaan mereka di senarai hitamkan.

Kakitangan kabin curi telefon

IPOH: Seorang lelaki warga Malaysia yang juga kakitangan kabin syarikat penerbangan komersial, diberkas pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai kerana mencuri telefon bimbit milik seorang penumpang.

Laman web Khaleej Times semalam, menyatakan suspek diberkas selepas didapati mencuri iPhone milik wanita warga Russia. 

Menurut laporan itu, kejadian berlaku pada jam 4 petang, 8 Februari lalu apabila polis Dubai dimaklumkan berhubung kes kecurian di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. 

Difahamkan mangsa, pelancong wanita Russia membuat laporan kehilangan barang berharga sekitar jam 4 petang ketika dia dalam perjalanan pulang ke negara asalnya.

Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa membuka dan meletakkan telefon iPhone bersama tali pinggang serta beg galas miliknya ketika melalui alat pengesan logam.

'Bom' gegar sekolah

INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak puas hati dengan guru, dua pelajar nekad meletupkan bangunan sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota dengan ‘bom’ buatan sendiri yang dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk, semalam.

Tindakan ala ‘MacGyver’ itu dilakukan kedua-dua pelajar tingkatan tiga terbabit pada kira-kira jam 7.40 pagi menyebabkan berlaku tiga letupan di tiga lokasi berasingan sekolah berkenaan, sekali gus menggemparkan guru dan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran. 

Sebumbung dengan mayat

BATU PAHAT: “Rupa-rupanya, dua malam kami sekeluarga tidur sebumbung dengan mayat,” kata Kamaruzaman Sahlan, 40, selepas dua pekerja syarikat pendawaian elektrik menemui mayat lelaki melecur teruk di siling rumahnya di Jalan Bukit Pasir, jam 8.30 malam kelmarin.

Mayat lelaki berusia 50-an dipercayai penagih dadah itu dijumpai tertiarap dan hampir seluruh badannya melecur selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong wayar di siling rumah Kamaruzaman untuk dicuri.

Sebelum itu, Kamaruzaman dan keluarganya menyangka bekalan elektrik terputus di rumah mereka sejak petang Jumaat lalu berpunca daripada masalah pendawaian dan sama sekali tidak menyangka ia disebabkan cubaan mencuri wayar elektrik.

Dua perkosa budak OKU

AMPANG: Dua lelaki layak dilabelkan bernafsu syaitan apabila tergamak merogol kanak-kanak kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun secara bergilir-gilir di rumahnya Jumaat lalu.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah teres di Bandar Baru Ampang didatangi dua lelaki tidak dikenali berusia 20-an yang mengambil kesempatan merogolnya selepas ibu mangsa keluar bekerja. 

Menurut sumber, mangsa yang mendengar ketukan pintu rumah terus membukanya sebelum dua lelaki berkenaan menyerbu masuk. 

Sumber berkata, kejadian itu dikesan ibu mangsa yang pelik dengan sikap anaknya yang berdiam diri dan murung.

Selepas didesak, mangsa menceritakan kejadian yang berlaku dan ibunya membuat laporan di Balai Polis Ampang pada hari yang sama,” katanya.

Samun treler: Pemandu lori parah ditetak

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kejadian pemandu lori diculik dan disamun semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Pada Jumaat lalu, dua pemandu lori dilaporkan menjadi mangsa samun dan culik sekumpulan lelaki di Bandar Baru Bangi dan di Pekan Batu Gajah, Perak.

Namun, kedua-dua mangsa bernasib baik apabila dibebaskan selain tidak mengalami kecederaan selepas disamun.

Semalam, seorang lagi pemandu lori mengalami nasib yang sama tetapi kali ini, mangsa cedera parah selepas ditikam di perut dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian berlaku pukul 1 pagi ketika mangsa, Lee Kuan Hee, 47, memandu treler jenis Scania membawa muatan besi dari Kuantan, Pahang menghala ke ibu negara.

Ibu tunggal nyaris ditembak

ALOR SETAR 7 Mac – Seorang ibu tunggal melalui saat-saat mencemaskan apabila dia nyaris ditembak ketika melarikan diri daripada seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Sinaran, Kuala Kedah di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi, mangsa, Low Sew Kiow , 45, bertindak nekad melepaskan diri daripada penjenayah tersebut yang cuba menculiknya ke bank untuk mengeluarkan wang simpanan.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Sew Kiow berkata, penjenayah bertopeng dan bersenjatakan pistol itu dikatakan tidak berpuas hati setelah gagal mendapat wang yang banyak ketika menyamun rumahnya.

IPD Trafik Serdang dibuka semula


SERDANG: Orang ramai kini lega apabila Ibu Pejabat Daerah (IPD) Trafik Serdang dibuka semula, hari ini, bagi memudahkan urusan penyemakan dan pembayaran saman trafik.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata balai trafik yang ditutup,lapan bulan lalu.

Beliau berkata, pembukaan semula balai trafik berkenaan bertujuan memudahkan masyarakat setempat menyemak dan membayar saman trafik mereka.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memohon maaf kerana tidak dapat menyediakan kawasan teduh yang maksimum berikutan keadaan balai berkenaan yang sempit.

“Sebagai Ketua Polis Serdang memohon maaf kepada orang ramai berikutan kawasan yang tidak selesa memandangkan bangunan balai yang lama. Tapi, kami menyediakan beberapa payung setakat mampu,” katanya pada perasmian Kaunter Trafik IPD Serdang, di sini. Menurutnya, kaunter berkenaan akan dibuka sehingga 10 Mac ini, dari jam 8 pagi hingga ke 10 malam, manakala pada hari biasa ia akan dibuka sehingga jam 4 petang.


Polis Brickfields selesai 30 kes pecah rumah dan kereta

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai dalang kepada kumpulan pecah rumah dan kereta sekitar Lembah Klang antara tiga individu ditahan pihak berkuasa di sebuah rumah di Bangsar, di sini, semalam.

Difahamkan, kumpulan terbabit bergiat aktif sejak setahun lalu dan penahanan mereka berjaya menyelesaikan 30 kes yang dikatakan dilakukan sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata penahanan ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 46 tahun itu hasil siasatan susulan beberapa laporan yang diterima pihaknya.

“Dalam kes terbaru yang dilaporkan pada 7 Februari lalu, seorang lelaki mendakwa cermin kereta miliknya dipecahkan ketika ditinggalkan di sebuah pasar raya di kawasan Bangsar dengan beberapa barang miliknya dilarikan.

Insafi diri ketika usia senja

KUALA LUMPUR: Kurangnya ilmu agama di usia lanjut di samping terlalu mengikut tuntutan nafsu liar seperti sanggup terjebak kegiatan maksiat hingga menjadikan aktiviti pelacuran sebagai sumber pendapatan menjadi faktor terjadinya masalah sosial ini.

Pakar motivasi, Profesor Izzudin Ali berkata, golongan yang boleh dikategorikan sebagai warga emas ini perlu menginsafi diri dan memikirkan hidup di akhirat.

“Dalam Islam ada peraturan dan hukum yang sudah digariskan sejak dulu yang mengatakan perbuatan itu dilarang dan salah di sisi hukum Islam.

Teman lelaki maut ditetak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala teman wanitanya cedera ditetak sekumpulan lelaki bersenjata yang tiba-tiba datang ke rumahnya di sebuah pangsapuri berhampiran Jalan Changkat Thambi Dollah, di sini, semalam.

Mangsa, Ahmad Shariff Akbar Shah, 26, seorang pekerja bengkel besi buruk mati di tempat kejadian dipercayai akibat tikaman lebih lima kali di dada selain cedera di kepala dan badan.

Amah dicabul selepas rumah majikan disamun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan bukan sahaja menyamun malah mencabul seorang pembantu rumah warga asing dalam kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Budiman, Cheras, di sini hari ini. 


Ketua Polis Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh, berkata ketika kejadian 8.30 pagi itu, majikan pembantu rumah berumur 23 tahun itu keluar bekerja.


"Ketika kejadian, mangsa sedang mengemas rumah dan tiba-tiba didatangi suspek berumur dalam lingkungan 20-an yang masuk melalui pintu hadapan lalu mengacukan pisau dan terus mengikat mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata setelah menggeledah rumah teres dua tingkat itu, suspek menyamun lima telefon bimbit pelbagai jenis, sebuah kamera serta wang tunai RM200 yang semuanya dianggarkan bernilai RM6,000. 


"Selepas menyamun, suspek sempat mencabul mangsa dengan mencium dan meraba-raba badan mangsa," katanya. 

Mohan berkata, mangsa kemudian dapat membuka ikatan itu dan terus menghubungi majikannya yang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...