SHAH ALAM – Tiga pekerja termasuk seorang wanita warga Indonesia yang sedang membina longkang besar di Kondominium Tiara di Segambut, Kuala Lumpur, semalam dikhuatiri lemas apabila terjatuh dan dihanyutkan arus deras.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kesemua mangsa berusia 25 hingga 35 tahun itu sedang membuat kerja-kerja bersama seorang lagi rakannya.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Ibu Pejabat Kuala Lumpur, Rohaya Alias berkata, bagaimanapun, keempat-empat mangsa dipercayai tergelincir ke dalam longkang itu akibat hujan lebat.
Katanya, salah seorang daripada mangsa wanita berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi berhampiran.
Menurutnya, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 15 minit kemudian dengan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hartamas dan Jinjang.
“Operasi mencari dan menyelamat ini dijalankan oleh 45 anggota daripada kedua-dua balai termasuk Unit Anjing Pengesan (K9).
“Kita (bomba) menjalankan operasi di tiga lokasi iaitu stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Segambut. Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) serta tempat perangkap sampah di Segambut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, sehingga lewat petang semalam, ketiga-tiga mangsa itu masih gagal ditemui dan operasi terpaksa dihentikan kira-kira jam 8 malam.