Selasa, 8 Mac 2011

Promosi Rakan Cop digiatkan

RIMBA TAQWA - Usaha mempromosikan keahlian Rakan Cop dalam kalangan orang awam terus ditingkatkan bagi memupuk kesedaran membantu pihak polis menyalurkan sebarang maklumat. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, Cif Inspektor Fauzeli Mohd Ali, berkata, penglibatan masyarakat penting bagi membanteras pelbagai kegiatan jenayah berlaku. 

Menurutnya, pihaknya juga sedia memberikan kerjasama dengan pihak lain untuk meluaskan lagi pengetahuan kepada umum mengenai langkah pencegahan jenayah dan tindakan sewajarnya bagi membantu mangsa jenayah. 
“Justeru, bersempena dengan Program Cegah Jenayah peringkat Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Rimba Taqwa, kami memilih untuk bergabung dengan beberapa bahagian seperti Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah serta Narkotik. 

“Inisiatif itu julung kali diadakan kerana selalunya setiap bahagian bergerak secara berasingan untuk mempromosikan maklumat asas kepada masyarakat sekeliling,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Fauzeli berkata, lebih menarik lagi, sepanjang aktiviti berlangsung beberapa pengisian seperti demonstrasi jenayah ragut dilakukan sendiri pihak polis, di samping pengedaran risalah cegah jenayah, taklimat serta pendaftaran Rakan Cop. 

“Melalui pertunjukan demonstrasi itu, secara tidak langsung pelatih akan mendapat pendedahan terbaik untuk mengelakkan mereka berhadapan dengan risiko ragut serta membantu menyalurkan maklumat segera kepada pihak polis. 

“Orang ramai juga diingatkan supaya lebih berwaspada dalam menjaga harta benda mereka bagi mengelakkan menjadi mangsa kes-kes kecurian serta tidak bersikap lepas tangan sahaja,” katanya. 

Sementara itu, Penyelaras Program Khidmat Komuniti PLKN, Tengku Fuad Tengku Cherit, berkata, pelaksanaan Program Cegah Jenayah adalah acara tahunan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). 

“Pendekatan usaha sama antara PLKN dengan PDRM, sekurang-kurangnya dapat memberi manfaat kepada pelatih, serta memupuk nilai-nilai murni dalam diri mereka sebelum kembali ke pangkuan masyarakat. 

“Selain itu, kami turut merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak pihak seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera (ATM) pada masa depan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...