KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala teman wanitanya cedera ditetak sekumpulan lelaki bersenjata yang tiba-tiba datang ke rumahnya di sebuah pangsapuri berhampiran Jalan Changkat Thambi Dollah, di sini, semalam.
Mangsa, Ahmad Shariff Akbar Shah, 26, seorang pekerja bengkel besi buruk mati di tempat kejadian dipercayai akibat tikaman lebih lima kali di dada selain cedera di kepala dan badan.
Abang ipar mangsa, Asriy Ramachandran, 35, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa seorang yang pendiam dan tidak mempunyai musuh. “Mangsa tidak pernah bercerita atau berkongsi masalah peribadi dengan saya kerana kami tinggal berasingan dan hanya bertemu ketika keluar bekerja. Saya tidak tahu sama ada mangsa ada berhutang dengan along atau pernah menerima ugutan daripada sesiapa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata mangsa dipercayai bergaduh dengan sekumpulan lelaki menyebabkan dia dipukul dan ditikam bertubi-tubi.
Katanya, teman wanita mangsa yang berada di tempat kejadian turut cedera dan kini dirawat di HKL. Beliau berkata, mangsa mati di tempat kejadian disebabkan parah akibat dipukul senjata tumpul dan benda tajam.
“Siasatan polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata atau peralatan yang digunakan suspek, malah bilik mangsa juga tiada kesan diceroboh,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.