Selasa, 8 Mac 2011

Konsep 4P banteras jenayah

TAMPIN - Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang sudah berkhidmat sebagai anggota polis sejak 1987 dan dalam tempoh berkenaan, banyak pengalaman diperoleh. 

Ikuti sambungan temu bual bersama beliau sempena Hari Polis ke-204 yang akan disambut pada 25 Mac ini. 

Kooi Cheang berkata, setiap profesion seharusnya mempunyai hala tuju sebagai panduan menyempurnakan tugas sebaik mungkin. 

Atas dasar itu, Kooi Cheang sentiasa menekankan kepentingan menjiwai konsep 4P iaitu Protective, Performance and outcome oriented, Proactive dan People oriented. 
“Semua konsep ini digabungkan dan dijadikan amalan bagi membanteras jenayah di Daerah Tampin. 

“Misalnya, konsep Protective iaitu polis perlu menjadi pelindung kepada semua lapisan masyarakat. Atas sebab itu, ketika kejadian banjir besar di Daerah Kecil Gemas dan Tampin penghujung Januari lalu, seramai 80 anggota polis terbabit dalam operasi berkenaan,” katanya. 

Menurutnya, semua anggota juga perlu bersiap-sedia dan memantau operasi berkenaan bagi memastikan tiada kes kecurian serta pecah rumah berlaku sepanjang tempoh mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara. 

“Bagi konsep Performance and outcome oriented pula, kita menjadikan integriti sebagai amalan dan berpegang kepada moto Tegas, Adil dan Amanah. 

“Walaupun, dengan kekuatan seramai 360 anggota polis di IPD Tampin, kita sentiasa berfikiran positif dan berkeyakinan untuk melaksanakan tanggungjawab dalam usaha pencegahan jenayah bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di daerah ini, dengan anggaran lebih 95,000 penduduk,” katanya. 

Kooi Cheang berkata, bagi konsep Proactive pula, banyak program dianjurkan, antaranya sesi dialog, rondaan termasuklah Ops Payung di Tampin Square dengan sesiapa yang mengalami masalah boleh terus membuat aduan di sana. 

“Konsep terakhir pula adalah People oriented dan bagi menyahut saranan konsep ini dengan bantuan pentadbiran daerah, kita mengadakan program kampung angkat penghujung Disember tahun lalu. 

“Kampung Baru Tampin dan Felda Gugusan Jelai 3, Gemas terpilih sebagai kampung angkat IPD Tampin,” katanya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...