TERACHI – Tindakan keterlaluan sepasukan pegawai dan penguat kuasa sebuah agensi kerajaan menjalankan operasi mengesan pendatang asing tanpa izin, Jumaat lalu, menimbulkan rungutan penduduk kampung.
Penduduk mendakwa, pasukan terbabit bertindak tidak sopan semasa menjalankan operasi sehingga menyebabkan penduduk terganggu.
Seorang penyelia ladang ternakan itik, Azrol Haris, 23, berkata, semasa operasi. dia sedang tidur lena di dalam sebuah bilik dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat dan bertalu-talu pada pintu, kira-kira 2.30 pagi.
“Saya melihat kira-kira 10 individu menyerbu masuk ke dalam bilik sebaik sahaja pintu dibuka. Salah seorang daripada mereka menunjukkan kad kuasa selaku anggota agensi kerajaan terbabit.
“Tanpa sebarang motif jelas, anggota berkenaan menggunakan jarinya untuk mencucuk perut saya. Perbuatan itu agak kurang sopan. Malah, dia tidak sepatutnya menyentuh saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.
Menurut Azrol, secara kebetulan, dia tidak mempunyai Mykad semasa diperiksa kerana ia tercicir dan belum sempat untuk membuat laporan kehilangan.
Katanya, disebabkan ketiadaan Mykad menyebabkan anggota penguat kuasa terbabit curiga dengan status kerakyatannya.
“Selepas saya kemukakan dokumen pengenalan diri lain seperti sijil daftar kelahiran dan sijil-sjil persekolahan, baru mereka percaya saya warganegara Malaysia.
“Namun, itu bukan alasan bagi mewajarkan mereka bersikap kurang sopan terhadap saya. Saya juga amat kesal kerana mereka langsung tidak meminta maaf,” katanya.
Selain itu, Azrol berkata, pasukan penguat kuasa berkenaan juga didakwa mencabut pintu pagar besi untuk memasuki kawasan ladang ternakan itik.
“Saya sudah membuat laporan berhubung insiden kurang menyenangkan itu di Balai Polis Terachi, di sini pada hari sama, “ katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha kolam ternakan ikan, Baharom Jaalam, 63, turut mendakwa menerima nasib serupa dalam serbuan pasukan penguat kuasa agensi kerajaan terbabit di Kampung Gedang dekat sini, pada hari sama.
Dia berkata, serbuan kira-kira 2 pagi itu mengakibatkan jaring hijau dipasang pada tingkap rumahnya rosak dipercayai akibat ditoreh anggota penguat kuasa.
“Selepas kejadian, saya menghubungi pejabat agensi kerajaan berkenaan di Seremban menerusi panggilan telefon dan mereka mengesahkan tentang operasi terbabit.
“Bagaimanapun, mereka mematikan talian serta-merta sebaik sahaja saya menuntut ganti rugi atas kerosakan yang dilakukan,” katanya.
Kata Baharom, sikap itu amat dikesali kerana ia seolah-olah membayangkan agensi kerajaan terbabit tidak mahu bertanggung jawab atas perbuatan mereka merosakkan harta miliknya.