Selasa, 8 Mac 2011

IPK Terengganu dekati masyarakat

KUALA BERANG - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu akan terus memberi fokus dan memperluaskan agenda berkaitan Komuniti Polising bagi mendekati masyarakat, sekali gus meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Ketua Polis Terengganu, Senior Asistan Komisioner 1, Datuk Jamshah Mustapa berkata, selaras dengan usaha itu, tumpuan akan diberikan kepada pelbagai peringkat umur termasuk mereka yang bergelar ketua keluarga memandangkan individu tersebut lebih berpengaruh dalam keluarga. 
Menurutnya, kadar jenayah di negeri ini rendah dan sudah pasti polis mempunyai masa untuk memberi tumpuan kepada komuniti melalui pelbagai pendekatan. Justeru, interaksi bersama masyarakat merupakan perkara penting dalam usaha ini. 

Malah katanya, mereka juga akan memperluaskan usaha mendekati masyarakat termasuk melalui saluran masjid iaitu Program 1Masjid 1Anggota, sekali gus sebagai tambahan bagi Program 1JKKK 1Anggota dan 1Sekolah 1Pegawai. 

“Melalui pendekatan sebegini, kita percaya hasrat mendekatkan diri dengan komuniti pelbagai peringkat umur akan tercapai. Malah, secara tidak langsung membantu polis meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat. 

“Selain itu, kita juga akan menyelaraskan pelbagai perkara pada peringkat daerah termasuk cara berkomunikasi khususnya ketika menjawab panggilan telefon. Pelaksanaan sebegini akan dilaksanakan secara berperingkat kerana perlu diingat, tidak semua dilakukan dapat terus diterima masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Ketua Polis Terengganu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Polis daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...