Selasa, 8 Mac 2011

Insafi diri ketika usia senja

KUALA LUMPUR: Kurangnya ilmu agama di usia lanjut di samping terlalu mengikut tuntutan nafsu liar seperti sanggup terjebak kegiatan maksiat hingga menjadikan aktiviti pelacuran sebagai sumber pendapatan menjadi faktor terjadinya masalah sosial ini.

Pakar motivasi, Profesor Izzudin Ali berkata, golongan yang boleh dikategorikan sebagai warga emas ini perlu menginsafi diri dan memikirkan hidup di akhirat.

“Dalam Islam ada peraturan dan hukum yang sudah digariskan sejak dulu yang mengatakan perbuatan itu dilarang dan salah di sisi hukum Islam.
“Pelaku perbuatan terkutuk ini perlu merenungi diri mereka kerana di usia lanjut mereka boleh diibaratkan seperti lebih teruk daripada kaki dangdut yang memenuhi kelab-kelab malam,” katanya.

Beliau merujuk kepada laporan Harian Metro kelmarin mengenai seorang wanita berusia 44 tahun dikenali sebagai Nora yang ligat bertukar-tukar pasangan untuk mengikis wang mereka.

Lebih mengejutkan, sasarannya lelaki berusia 60 hingga 70 tahun dan sepanjang tempoh lapan tahun bergelumang dalam kegiatan itu, kira-kira 80 lelaki veteran sudah menjadi mangsanya.


Menurut ibu beranak satu itu, walaupun dia menyedari perbuatannya salah, namun perangai mengikis wang lelaki sukar dibuang selepas lebih lapan tahun melakukan kerja itu.


Selain itu, Prof Izzudin menasihatkan mereka kembali ke pangkal jalan kerana kehidupan mereka sudah begitu hampir dengan pintu kubur.

“Saya anggapkan wanita berkenaan sudah ketagih dengan aktiviti seks dan mendapat wang cara ‘segera’. 

“Bagaimanapun, memperoleh wang dengan cara sebegitu ditegah sama sekali oleh agama dan saya menyarankan supaya wanita berkenaan berfikir semula mengenai perjalanan hidupnya dan segera bertaubat,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...