Selasa, 8 Mac 2011

Terkejut jumpa dua bom lama

PANTAI REMIS – Seorang penduduk Kampung Sungai Batu, dekat sini terkejut apabila menemui dua bom yang dikatakan masih aktif dan boleh meledak pada bila-bila masa. 

Azhman Ahmad, 46, berkata, dia menemui bom itu di Teluk Senangin dekat sini, di sebuah kawasan lombong tinggal ketika mencari daun palas petang kelmarin. 

Menurutnya, pada awalnya dia tidak menyangka dua besi itu adalah bom sehingga mendorongnya membawa pulang ke rumah. 

“Saya langsung tidak menyangka atau syak dua besi yang saya bawa balik dari Teluk Senangin ini adalah bom. 

“Pada mulanya saya sangka ia hanya besi biasa dan bercadang untuk membuat perhiasan berikutan bentuknya agak menarik pada pandangan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 
Azhman berkata, dia menemui bom itu kira-kira jam 7 malam dan setelah membawa balik ke rumah dia memaklumkan penemuan besi itu kepada Ketua UMNO Cawangan Tanjung Burung, Mustaffa Yun. 

Dia meminta Mustaffa datang ke rumahnya untuk melihat besi yang ditemuinya itu untuk memastikan jenisnya. 

“Saat mendapat tahu dua besi itu adalah bom dan boleh menyebabkan sebuah kampung menjadi abu, saya amat terkejut. 

“Hilang jantung di dada dan saat itu juga saya menggigil hingga ke saat ini serta tidak senang duduk apatah lagi tidur,” katanya. 

Menurut Azhman, saat mengangkat bom itu, dia dapat mengagak beratnya adalah lebih kurang 40 ke 50 kilogram setiap satu. 

“Ketika jumpa, kedua-dua bom itu dalam keadaan terbaring di pantai dan tersusun elok sebelah menyebelah di mana muncung salah satu daripadanya telah hilang. 

“Jika saya tahu kedua-dua besi yang saya temui itu adalah bom, tentu sekali saya tidak akan menyentuhnya apatah lagi membawanya balik dengan menaiki kereta kerana saya tahu ia melibatkan risiko nyawa bukan hanya kepada saya dan keluarga, bahkan semua penduduk kampung,” katanya. 

Sementara itu, Mustaffa yang turut ditemui di kediaman Azhman semalam berkata, beliau telah mendapat panggilan daripada Azhman kira-kira jam 10 malam, dan tiba di rumah rakannya itu pada jam 11 malam. 

“Saya terkejut ketika Azhman menunjukkan besi yang ditemuinya itu sebenarnya dua bom dan segera mengarahkan Azhman agar membuat laporan di Balai Polis Pantai Remis agar tindakan segera diambil. 

“Saya tidak pasti bom jenis apa yang ditemui Azhman, namun saya pasti ia adalah bom yang masih aktif serta lengkap dengan nombor sirinya dan ini adalah kali pertama bom seperti ini ditemui di Teluk Senangin di Sungai Batu,” katanya. 

Menurut Azhman, dia sering ke Teluk Senangin mencari daun palas, lokan dan kepah sebagai punca rezekinya, tetapi tidak pernah melihat dua bom itu sebelum ini dan tidak dapat memastikan bila kedua-dua bom itu diletakkan di situ.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...