Selasa, 8 Mac 2011

Jangan bangkitkan isu sensitif: Tuanku Mizan


KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya. 

Titah baginda, soal kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. 
“Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen, semalam.

Tuanku Mizan bertitah, walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun kesederhaan diamalkan dengan subur di negara ini yang membolehkan agama-agama lain diamalkan dengan aman damai serta hari-hari perayaan agama lain turut diiktiraf dengan dijadikan hari cuti umum. 

Bagi menjamin keamanan di negara ini, Seri Paduka Baginda berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program dan aktiviti masing-masing, hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara. 

Baginda bertitah, walaupun ekonomi negara telah mengalami pemulihan yang pantas, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia perlu peka terhadap faktor luaran seperti ekonomi global tidak menentu yang menjadi cabaran kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya usaha untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020. 

Baginda berharap Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan akan memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat agar mereka berupaya menikmati peningkatan dalam mutu kehidupan antaranya dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. 

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Malaysia yang berada di tangga ke-10 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010 namun berharap Malaysia tidak cepat berpuas hati dengan kedudukan itu. 

Mengenai kualiti pendidikan, baginda bertitah, transformasi pendidikan di peringkat sekolah khususnya berkaitan dengan kurikulum standard yang diperkenalkan akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan. 

Tuanku Mizan mahu supaya kualiti dan kemahiran guru dan pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan lagi di samping mengekalkan sikap berdedikasi dan berintegriti. 
Baginda berharap penubuhan Agensi Inovasi Malaysia dan penggubalan Dasar Industri Kreatif dapat menyemarakkan lagi penciptaan kekayaan melalui aktiviti inovasi dan industri kreatif multimedia. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...