KUANTAN - Cubaan seorang lelaki meragut wanita warga Indonesia yang baru mengeluarkan wang di sebuah bank berjaya dipatahkan apabila penjenayah itu diberkas polis dalam kejadian di persimpangan Sungai Jan dekat Jerantut, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, pekebun berusia 42 tahun itu ditolak dari belakang hingga terjatuh sebelum beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM107 dilarikan suspek.
Ketika itu mangsa berjalan seorang diri menuju ke sebuah pasar raya selepas mengeluarkan wang di sebuah bank di bandar berkenaan.
Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, akibat kejadian mangsa yang cedera di kaki dan tangan kiri menjerit meminta pertolongan sambil mengerang kesakitan.
Menurutnya, wanita itu bernasib baik apabila kejadian sempat disaksikan seorang anggota Rela yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.
“Lelaki itu segera menghubungi polis sebelum mengejar suspek yang cuba melarikan diri ke arah pasar tani berhampiran.
“Polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan berjaya memberkas suspek dengan bantuan anggota Rela itu,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.
Noor Asyikin berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek sudah memerhatikan mangsa dari jauh sebelum meragutnya ketika keluar dari bank berkenaan.
“Siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Kuala Lipis itu mempunyai beberapa rekod lampau termasuk kes dadah dan melupuskan barang curi,”katanya.
Noor Asyikin berkata, suspek yang tidak bekerja itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.