Saya dan keluarga serta pucuk pimpinan PDRM mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh warga PDRM dan warganegara Malaysia yang beragama Kristian agar meraikannya dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tersayang.
Krismas yang juga dikenali sebagai Hari Natal, merupakan perayaan bagi penganut Kristian yang disambut pada tanggal 25 Disember setiap tahun. Perayaan ini dimeriahkan lagi dengan tradisi pemberian hadiah, sambutan keagamaan di gereja, dan peragaan pelbagai hiasan termasuk pokok Krismas, lampu hiasan, daun mistletoe, dan lakonan semula kelahiran Jesus.
Bagi kanak-kanak dari keluarga penganut Kristian, perayaan Hari Krismas sentiasa membawa keceriaan kerana akan mendapat hadiah yang diidamkan daripada Santa Claus.
Saya berharap semoga perayaan Krismas ini akan dapat mempertingkatkan lagi kemesraan dan mengeratkan hubungan sesama kita dengan menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh sahabat-handai penganut agama Kristian.
Tradisi kunjung mengunjungi serta hormat menghormati ini hendaklah diteruskan sebagai lambang perpaduan pelbagai kaum di negara kita amnya sekali gus mengeratkan lagi hubungan polis dan masyarakat khususnya demi menuju ke arah masa hadapan negara yang harmoni.