Selasa, 24 Disember 2013

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA PERAYAAN HARI KRISMAS 2013



Saya dan keluarga serta pucuk pimpinan PDRM mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh warga PDRM dan warganegara Malaysia yang beragama Kristian agar meraikannya dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tersayang.

Krismas yang juga dikenali sebagai Hari Natal, merupakan perayaan bagi penganut Kristian yang disambut pada tanggal 25 Disember setiap tahun. Perayaan ini dimeriahkan lagi dengan tradisi pemberian hadiah, sambutan keagamaan di gereja, dan peragaan pelbagai hiasan termasuk pokok Krismas, lampu hiasan, daun mistletoe, dan lakonan semula kelahiran Jesus. 

Bagi kanak-kanak dari keluarga penganut Kristian, perayaan Hari Krismas sentiasa membawa keceriaan kerana akan mendapat hadiah yang diidamkan daripada Santa Claus. 

Saya berharap semoga perayaan Krismas ini akan dapat mempertingkatkan lagi kemesraan dan mengeratkan hubungan sesama kita dengan menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh sahabat-handai penganut agama Kristian. 

Tradisi kunjung mengunjungi serta hormat menghormati ini hendaklah diteruskan sebagai lambang perpaduan pelbagai kaum di negara kita amnya sekali gus mengeratkan lagi hubungan polis dan masyarakat khususnya demi menuju ke arah masa hadapan negara yang harmoni. 

Mudah-mudahan perayaan ini akan menjadi perangsang kepada kita semua untuk bersama-sama mengekalkan kesejahteraan dan keamanan negara demi memastikan negara Malaysia ini terus maju dan cemerlang. 

Di samping itu, saya menyeru kepada semua warganegara Malaysia beragama Kristian agar berhemah dalam perbelanjaan sempena sambutan Hari Natal ini. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan keperluan serta elakkan pembaziran.

Akhir kata, saya sekali lagi berharap sambutan Krismas tahun ini dirai dengan penuh kegembiraan dan keriangan, bukan sahaja oleh masyarakat yang beragama Kristian, malah juga oleh seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini. 

Dalam pada itu, janganlah keseronokan merayakannya, membuatkan kita alpa dan lupa akan keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Bagi yang pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah ketika memandu. Jangan lupa juga untuk memaklumkan kepada jiran tetangga dan balai polis yang berdekatan demi keselamatan rumah yang ditinggalkan.

Merry Christmas and Happy New Year.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...