Ahad, 13 April 2014

Empat Laporan Polis Dibuat Terhadap Pemilik Facebook Hina Agong


KLANG, 12 April (Bernama) -- Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pergerakan Pemuda Umno hari ini membuat empat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu dibuat oleh Gerakan Belia 4B Kota Raja; Umno Cawangan Taman Desa Utama, Klang Jaya; Pemuda Umno Kota Raja; dan Persatuan Persatuan Penduduk Pangsapuri Klang Jaya.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Kota Raja Muhd Ali Zakariah berkata pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun facebook itu kerana menghina ketua negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, kami mengutuk tindakan pemilik akaun itu yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Dia ibarat menghina sistem raja Melayu di negara ini.

"Kami gesa pihak berkuasa dapat siasat pemilik akaun Facebook itu dan dihukum dengan hukuman lebih berat sebagai amaran dan pengajaran pada orang lain," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Beliau berkata, akaun laman sosial itu didapati masih aktif dengan memuat naik pelbagai status mencerca keharmonian kaum di negara ini selain turut menghina Polis Diraja Malaysia, parti-parti politik dan sebagainya. -- BERNAMA

TIDAK WAJAR MAKLUMAT PENCULIKAN DI SEMPORNA DIDEDAHKAN - KPN


SINTOK, 12 April (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tidak wajar bagi pihaknya mendedahkan maklumat terkini mengenai kes culik dua wanita warga asing di sebuah resort di Semporna 2 April lepas.

"Saya tidak fikir wajar bagi saya memberitahu anda (media) maklumat terkini mengenainya (penculikan itu) demi keselamatan mangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan Bola Jaring dan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Negara di Universiti Utara Malaysia, di sini hari ini.

Khamis lepas, penculik dua wanita itu menuntut wang tebusan sebanyak RM36.4 juta untuk membebaskan seorang daripada mereka, pelancong warga China.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada wang tebusan dituntut bagi seorang lagi wanita, pekerja resort warganegara Filipina.

Pelancong warga China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, dan pekerja resort itu, Marcy Dayawan, 40, diculik dari Singgahmata Adventures and Reef Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira pukul 10.30 malam pada hari berkenaan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...