Ahad, 15 Disember 2019

SEMANGAT SANG SAKA BIRU MEMBARA DI KALA HUJAN - SYABAS


JEMPOL, 14 DISEMBER 2019 - Hujan lebat yang membasahi padang kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, di sini, pagi tadi tidak menghalang 990 pelatih konstabel menjayakan Majlis Tamat Latihan Konstabel Lelaki Siri 5/2019.
Lebih bermakna lagi, ia seolah-olah 'hujan rahmat' buat tiga daripada mereka yang dinobatkan pelatih terbaik latihan, selepas menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang enam bulan menjalani Program Asas Kepolisan (PLAK) di pusat latihan tersebut.
Konstabel Muhammad Shafik Mushtareh, 23 tahun terpilih sebagai penerima Anugerah Terbaik Latihan Luar, Anugerah Terbaik Akademik pula menjadi milik Konstabel Muhammad Izzat Zulhilmi Zulkifli, 26, manakala Anugerah Terbaik Keseluruhan disandang oleh Konstabel Amos Borine, 27 tahun.
Ketiga-tiga anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, CP Datuk Mohd Khalil Kader Mohd yang turut menyempurnakan majlis penuh adat istiadat kepolisan itu.
Datuk Mohd Khalil telah diiringi Komandan PULAPOL Air Hitam, ACP Ali Ahmad sepanjang majlis berlangsung.
Kesemua pelatih tersebut telah menjalani PLAK bermula 16 Jun lalu yang meliputi pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti latihan kawad, jasmani, menembak, kelas undang-undang serta kerohanian.
Ia bertujuan membentuk keperibadian para pelatih agar bersedia dari segi fizikal dan mental apabila memulakan tugas sebagai anggota polis kelak.
Bagi siri PLAK kali ini, seramai 24 PELATIH MERUPAKAN GRADUAN IJAZAH SARJANA MUDA, 240 MEMILIKI DIPLOMA, 99 mempunyai Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan selebihnya adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Turut berlangsung petang semalam ialah Majlis Dialog Pelatih PLAK bersama Datuk Mohd Khalil di Dewan Perdana PULAPOL Air Hitam dengan perkongsian lebih 35 tahun pengalaman beliau mencurahkan khidmat bakti dalam Pasukan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Perlucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) JSJN, Bukit Aman, DCP Dato’ Kamarul Zaman Mamat, barisan pegawai kanan polis, ahli keluarga para pelatih serta rakan media.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...