KUALA LUMPUR - BEKAS
KETUA POLIS NEGARA TAN SRI ISMAIL OMAR hari ini diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi
Malaya.
Ismail,
65, yang kini, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif The New Straits Times Press
(Malaysia) Bhd (NSTP) yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda
Undang-Undang dengan kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa
merupakan pempetisyen paling kanan dari segi usia yang diterima masuk dan
didaftar sebagai peguambela dan peguamcara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi
Datuk Nordin Hassan.
Pada
majlis itu, peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat selaku tenaga pengajar
menyarungkan jubah peguam kepada Ismail selaku pelajarnya sebagai simbolik
beliau (Ismail) kini adalah pegumbela dan peguamcara.
Terdahulu,
peguam pengusul Mad Diah Endut membacakan petisyen Ismail bagi memperkenalkan
latar belakangnya selaku pempetisyen.
Mad
Diah berkata: Pempetisyen (Ismail), merupakan anak kelima daripada 10 beradik
kepada pasangan Allahyarham Omar Rahman dan Hasnu Ariffin dan telah mengikut
jejak langkah ayahnya menjadi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Peguam
pengusul itu berkata kerjaya pempetisyen dalam PDRM bermula di Maktab Polis
Kuala Kubu Bahru pada 1971 sebagai Inspektor Pelatih dan setelah menamatkan
latihan pada 1972, kariernya bermula sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu
Pejabat Polis, Seremban sebelum beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Polis
Negara yang kesembilan pada 13 Sept 2010.
Mad
Diah berkata pempetisyen turut dikenali sebagai seorang ketua polis yang amat
tegas dan menitikberatkan disiplin dalam kalangan pegawai dan anggota
bawahannya dan antara kenangan pempetisyen semasa menyandang jawatan Ketua
Polis Negara ialah apabila pasukan keselamatan negara berjaya menumpaskan
ancaman pencerobohan Sulu di Lahad Datu pada 2013 dan kejayaan PDRM dalam
siasatan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Morib,
Selangor pada 2010.
“Selepas
tamat perkhidmatan dalam PDRM pada 17 Mei 2013, pempetisyen telah dilantik
menjadi Duta Besar Malaysia ke Perancis dari 2013 hingga 2015,” katanya yang
turut memaklumkan pempetisyen telah menamatkan latihan dalam kamar di bawah
tunjuk ajar pengajarnya, Datuk Khairul Anwar Rahmat di Tetuan Khairul A. &
Co.
Petisyen
untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara itu tidak mendapat
bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam
Kuala Lumpur.
Sementara
itu, Ismail yang ditemani isterinya Puan Sri Suriati Md Sobri ketika
ditemui pemberita berkata beliau akan meneruskan khidmatnya kepada orang ramai
sebagai peguambela dan peguamcara demi keadilan.
“Mungkin
juga saya akan melibatkan diri dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tanpa
kepentingan apa-apa...semata-mata demi membantu bangsa sejagat dan untuk
membantu mereka yang lemah dan mereka yang tidak berpeluang untuk
mempertahankan hak-hak mereka,” katanya. - Bernama