NILAI – Serbuan Jabatan Imigresen di sebuah unit apartmen di Pangsapuri Seri Jasmin di Mantin dekat sini malam kelmarin membongkar rahsia seorang wanita warga tempatan yang bersekedudukan dengan teman lelakinya seorang warga Nigeria.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, wanita berusia 26 tahun itu didapati sedang berdua-duaan dengan seorang lelaki warga Nigeria berusia 30 tahun.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan yang sah dan lelaki itu juga didapati tinggal lebih masa di negara ini.
Katanya, pihaknya menahan wanita yang berasal dari Selangor itu kerana disyaki melindungi teman lelakinya seorang warga asing.
“Semasa disoal siasat wanita itu mengaku lelaki warga Nigeria terbabit teman lelakinya dan mereka sudah tinggal di rumah itu sejak beberapa bulan lalu.
“Wanita itu juga mengaku dia tertarik dengan layanan lelaki terbabit sehingga sanggup untuk tinggal serumah,” katanya di sini semalam.