Selasa, 17 Julai 2012

Koperal kecewa gaji rendah


KANGAR - Seorang anggota Polis berpangkat koperal di sini kecewa apabila gaji yang diperolehnya lebih rendah berbanding gaji Koperal lantikan Time Based.

Beliau yang berusia 40an dan enggan dikenali berkata, beliau dan rakanya mewakili hampir 3,000 anggota senasib dengannya di seluruh negara memohon pihak berkaitan supaya mengkaji semula taraf gaji yang diberikan kepada mereka.

Menurutnya, di Perlis lebih kurang 36 anggota berpangkat koperal yang terpaksa menerima gaji yang rendah walaupun taraf pangkat mereka sama dengan Koperal Time Based.

“Kami merupakan koperal yang sebelum ini mengambil Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), baru lulus satu bahagian tiba-tiba diumumkan bahawa PTK dimansuhkan, kalau tidak salah saya pada 2010. Sejak itu kami tidak mendapat anjakkan gaji.

“Semua koperal yang senasib dengan kami terkilan kerana koperal hakiki gajinya lebih rendah daripada Koperal Time Based, walaupun ada di antara kami yang berkhidmat lebih lama. Perbezaan gaji melebihi RM300,” katanya ketika  ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun kenaikan gaji diumumkan April lalu, gaji yang diperoleh mereka masih berada di takuk lama dan tidak dapat menyaingi Koperal Time Based.

Difahamkan, gaji maksimum bagi Koperal Time Based ialah RM3,347.78 manakala koperal hakiki gaji maksimumnya RM2,993.38, perbezaannya sebanyak RM354.40. “Kami berterima kasih kepada kerajaan yang meluluskan kenaikan  gaji dan Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memperjuangkan hak pekerja, namun kami koperal hakiki masih ketinggalan dari segi tangga gaji.

“Kami berharap pihak yang berkaitan prihatin terhadap nasib yang diterima koperal hakiki dan memohon jasa baik pihak berkenaan untuk mengkaji semula tangga gaji. Kami tidak memohon gaji yang lebih dari Koperal Time Based,  etapi cukuplah jika gaji kami diselaraskan seperti mereka,” katanya. 

Tiang lesap dikebas pencuri


Tiang lesap dikebas pencuri
KUALA ROMPIN – Pencuri besi buruk bukan saja menjadikan motosikal sebagai sasaran, malah tiang besi pagar di Pusara Daerah Rompin turut menjadi mangsa untuk mendapatkan wang dengan cara haram.

Kegiatan itu terbongkar sejak lebih sebulan lalu di mana kejadian tersebut mengakibatkan pagar mengelilingi kubur di situ kebanyakannya roboh dan tidak boleh digunakan lagi.

Bekas Penyelaras Tanah Perkuburan Islam Rompin, Mohd Zolfakar Taib, 42, berkata, pusara terbiar itu dikenali sebagai Tanah Perkuburan Islam Rompin sebelum dinaik taraf sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, perbuatan pihak yang sanggup mencuri tiang besi itu amat dikesali, apatah lagi perbuatan terkutuk tersebut dilakukan di tanah perkuburan.

“Sepatutnya mereka insaf setiap kali memijak kaki ke tanah perkuburan. Namun sebaliknya berlaku hingga mereka tergamak mencuri,” katanya.

Mohd Zolfakar berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima tiang lesap dikebas pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai mempunyai nilai jika dijual kepada ‘tauke’ besi buruk.

Menurutnya, dia juga tidak menolak kemungkinan kegiatan itu dilakukan penagih dadah terdesak hingga sanggup mencuri tiang pagar tersebut.

“Bagaimanapun, kami minta polis menyiasat perkara ini untuk memastikan dalang kejadian itu dapat dibanteras hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Katanya, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) juga disaran mencari kaedah terbaik untuk menangani perkara itu.

Selain itu katanya, pusara tersebut memerlukan penjagaan rapi dari segi kebersihan memandangkan statusnya sebagai pusara perkuburan.

Warga emas rugi RM 10,000 rumah dipecah masuk


MELAKA - Seorang warga emas kerugian lebih RM10,000 apabila kereta dan dokumen penting termasuk geran tanah, rumah dan sijil pelaburan bank dilarikan perompak yang memecah masuk kediamannya di Taman Sutera Seksyen 2 Batu Berendam di sini.
Mangsa, Rahim Baba, 80, seorang warga Singapura berkata ketika kejadian dia tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian tersebut sebaik pulang dari republik itu kira-kira 2.30 petang  semalam.
Pesara kerajaan itu berkata suspek dipercayai menyelinap masuk dengan memotong pagar besi tingkap sebelum mengeledah rumah teres dua tingkat tersebut.
"Saya memang menetap di Singapura namun pulang sebulan sekali ke rumah saya untuk menguruskan hal-hal penting termasuk pembayaran bil air dan elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Rumah Shira dipecah masuk


KUALA LUMPUR - Penjenayah yang terdesak tidak kira rumah siapa yang hendak dipecah masuk dan terbaharu, rumah artis popular, Sharifah Shahira atau Shira di Taman Melawati di sini menjadi mangsa perompak yang melarikan sejumlah mata wang asing dan barang kemas bernilai RM1,500 semalam.
Kejadian tersebut disedari Shira ketika dia bersama suaminya, Ijoy Azhari pulang ke rumah pada pukul 2.30 pagi selepas menjalani sesi penggambaran di Miri, Sarawak.
Ketika kejadian, tiga anaknya berusia antara tiga hingga lapan tahun berada di tingkat bawah kediaman berkenaan bersama pembantu rumah.
Shira berkata, dia yang keluar rumah pada pukul 7.30 pagi kelmarin terkejut apabila mendapati pintu balkoni di bilik tidur utamanya di tingkat atas telah diumpil.
Katanya, pemeriksaan mendapati sejumlah mata wang asing dan barang kemas miliknya telah dilarikan.
"Kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam dan tidak disedari pembantu rumah yang ketika itu berada di tingkat bawah bersama tiga anak saya.
"Suspek dipercayai memecah masuk rumah saya dengan memanjat balkoni tingkat atas rumah sebelah," katanya ketika dihubungi semalam.

INILAH AKIBAT TIADA KEJUJURAN DALAM MENJALANKAN TUGAS ???


Sarjan mengaku salah terima rasuah

KUALA TERENGGANU 15 Julai - Seorang anggota polis berpangkat sarjan didenda RM5,000 setelah mengaku salah atas tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Sarjan Esah Ismail, 52, yang telah berkhidmat sebagai anggota polis sejak 31 tahun lalu dan pernah menerima Anugerah Pingat Kebaktian pada 2006 daripada Sultan Kelantan, mengaku menerima suapan RM500 di hadapan Hakim, Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Berdasarkan fakta kes, Esah yang merupakan pegawai penyiasat di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, menerima wang tunai tersebut daripada Zamri Sharifuddin kira-kira pukul 6.20 petang pada 11 September 2011.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah pusat kecantikan di Jalan Haji Jusoh, Jerteh, Besut dengan tujuan mengubah keputusan ujian air kencing Zamri yang didapati positif dadah.

Tertuduh sebelum itu didakwa memberi jaminan kepada Zamri untuk mengubah keputusan air kencing tersebut sambil meminta RM1,000.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan mendapati nombor siri wang yang diterima Esah pada tarikh berkenaan sama dengan 'wang perangkap' digunakan SPRM.

Esah, ibu kepada tujuh orang anak itu telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Zainal Ayop manakala tertuduh diwakili peguam, Zamri Mat Nawang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...