KUANTAN - Dua buah rumah di Kampung Telengging, Kuala Krau dekat Temerloh disamun dalam tempoh setengah jam dipercayai dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang sama hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi di sebuah rumah yang didiami lima sekeluarga.
"Pengadu, 59, yang bekerja sebagai pemandu jentera berat, terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi bising dan apabila turun ke tingkat bawah didapati isterinya, 50-an, dan tiga anaknya dikumpulkan di satu tempat.
"Suspek yang menutup muka dan bersenjatakan parang serta pemotong besi itu kemudiannya bertindak mengikat pengadu sekeluarga sebelum menggeledah rumah mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan wang tunai RM200, telefon bimbit dan kunci kereta pengadu.
Tambah Abdul Aziz, tidak sampai setengah jam selepas itu, kumpulan berkenaan menceroboh rumah seorang penoreh getah, 40, di kampung sama dan melarikan barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai RM800.
"Kejadian pukul 4 pagi itu berlaku semasa mangsa bersama ibunya, 60-an, sedang nyenyak tidur tiba-tiba dikejutkan suspek.
"Ibu mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek tiba-tiba terkena serangan jantung lalu jatuh namun suspek yang tidak bertimbang rasa itu telah mengikat mangsa dan ibunya.
"Selepas menggeledah rumah mangsa, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan," katanya.
Ujarnya, berdasarkan keterangan pengadu polis percaya kesemua suspek merupakan warga asing. - Bernama