Kuantan, 7 Okt - Tiga lokasi yang menjadi litar Mat Rempit di sekitar Bandar Pusat Jengka digempur polis Cawangan Trafik Kontinjen Pahang dalam Ops Bersepadu Banteras Samseng Jalanan semalam.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata antara lokasi yang digempur ialah jalan di depan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, jalan di depan Hospital Jengka dan jalan di depan Balora Mastika.
Beliau berkata lokasi berkenaan menjadi tumpuan Mat Rempit terutama remaja berusia lingkungan 14 hingga 21 tahun dari sekitar Jengka, termasuk segelintir penuntut UiTM yang menyertainya setiap malam minggu dan cuti umum.