SEPANG 6 Jun - Hasrat 31 individu untuk mengerjakan ibadah umrah yang dijadualkan berlepas ke tanah suci semalam tidak kesampaian selepas mereka terkandas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ekoran wakil dari syarikat pengendali rombongan itu tidak hadir bersama visa dan pasport peserta.
Menurut seorang daripada individu itu, Rohani Awang, 53, mereka sepatutnya dijadualkan bertolak ke Jeddah pada 27 Mei lalu tetapi ditunda empat kali oleh pihak syarikat yang dikatakan milik menantu seorang ahli politik di Kelantan dikenali sebagai Ustaz Zul atas alasan tertentu.
"Mengikut perancangan, kami sepatutnya mengerjakan umrah bermula 27 Mei hingga 8 Jun namun kerap kali ditunda sehinggalah kami dimaklumkan akan berlepas pada lewat malam semalam.
"Setiap jemaah ditawarkan pakej umrah dengan bayaran RM5,850 seorang dan bayaran tambahan RM415 untuk penerbangan dari Kota Bharu ke LCCT," katanya ketika ditemui di sebuah inap desa sini hari ini bersama baki 12 peserta rombongan itu setelah yang lain diambil oleh ahli keluarga terdekat.
Tambah Rohani, kesemua mereka yang berasal dari Kelantan itu terpaksa bertolak dari Kota Bharu ke Sepang pada 3 Jun lalu dengan menaiki bas meskipun dijanjikan untuk menaiki penerbangan.
Katanya, mereka kemudian ditempatkan semalaman di sebuah inap desa di Bandar Enstek sementara menunggu waktu penerbangan yang dijadualkan pada semalam.
"Tetapi apabila sampai di lapangan terbang, wakil syarikat tidak pula muncul bersama visa dan pasport kami selain gagal dihubungi. Apabila kami cuba menghubungi pihak syarikat, kerani hanya menjawab wakil sedang dalam perjalanan.
"Kami menunggu dari pukul 7 malam hingga pukul 3 pagi namun wakil tersebut tidak kunjung tiba dan kami akhirnya membuat keputusan mencari tempat menginap di kawasan berdekatan," katanya.
Berikutan kejadian itu, Zainab Awang, 64, dan suaminya, Ab. Latif Salleh, 67, yang juga merupakan peserta rombongan tersebut telah membuat laporan polis di Balai Polis LCCT kerana berasa tertipu dan berharap pihak syarikat tampil memberi penjelasan.
"Saya minta pihak syarikat tidak bersikap lepas tangan dan segera memulangkan duit kami kerana kami sudah tawar hati," katanya.