Gambar hiasan |
Shah Alam: Disebabkan perniagaan pelapik kaki yang diusahakannya secara dalam talian kurang mendapat sambutan, seorang lelaki berusia 28 tahun sanggup mengajak isterinya mencuri beg tangan pengunjung wanita di surau pusat beli-belah dan tempat tumpuan awam sekitar negeri ini sejak lebih setahun lalu.
Selain isterinya yang berusia 26 tahun, lelaki terbabit membawa anak angkat perempuannya berusia empat tahun untuk melakukan kerja kotor itu bagi mengaburi mata orang ramai terhadap kehadirannya di surau berkenaan.
Semua itu dilakukan bagi mendapatkan wang dengan cara mudah dan cepat bagi menampung kehidupan mereka memandangkan suami isteri terbabit tiada pekerjaan tetap.
Namun, kegiatan itu tidak kekal lama apabila kedua-duanya yang dipercayai terbabit dengan 15 kes sama dicekup polis di rumah sewa mereka di Kampung Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor, kelmarin.
Kedua-dua suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pelajar berusia 23 tahun yang melaporkan kehilangan beg tangannya di sebuah surau di pusat beli-belah Bukit Raja, Klang, jam 7.25 malam, 11 Mei lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek ditahan jam 2.30 petang di rumah sewa mereka.
Beliau berkata, hasilnya polis menemui semula 15 telefon bimbit pelbagai jenama, pelbagai kad termasuk kad kredit, pemacu pena, jam tangan dan beg tangan yang dipercayai hasil jenayah yang dilakukan mereka.
“Selalunya suspek menunggu mangsanya pergi mengambil wuduk atau bersolat,” katanya dalam sidang media, di sini.
Mohd Adnan berkata, barangan bernilai seperti telefon bimbit dan beg tangan dijual suspek kepada peniaga barangan terpakai dengan harga yang murah bagi mendapatkan wang.
“Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kecurian di surau sebelum ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zulkifli Mohd di talian 013-3546374 untuk menyalurkan maklumat dan membuat pengecaman barang dilaporkan hilang,” katanya.