Gambar hiasan |
KUANTAN: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan 10 kesan tikaman di sebuah premis pengurusan mayat di Jalan Mat Kilau, dekat sini, Khamis.
Mayat Mg Pin Hling, 41, ditemui oleh seorang pekerja lain ketika dia tiba untuk bekerja pada pukul 7 pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff kepada pemberita, di sini.
"Rakan setugas mangsa itu pergi ke bilik tidur mangsa dengan niat mahu mengejutkan mangsa sebelum melihat kesan darah di lantai berhampiran bilik berkenaan.
"Selepas membuka pintu bilik, rakan setugasnya itu melihat mangsa dalam keadaan mengiring dan berlumuran darah," katanya.
Mohd Jasmani berkata kejadian itu dipercayai berlaku pukul 12 tengah malam tadi ketika mangsa sedang tidur.
Menurutnya polis kini memburu tiga suspek warga Myanmar yang juga rakan sekerja mangsa berusia 19, 26 dan 28 tahun.
"Polis percayai kes itu bermotifkan dendam kerana mangsa dibunuh ketika sedang tidur, tiada berlaku sebarang kesan pergelutan," katanya. - BERNAMA