Khamis, 10 April 2014

Kontraktor parah ditetak penyamun

Kajang: Seorang kontraktor parah di lengan akibat ditetak dengan sebilah parang panjang dalam kejadian samun di kediamannya di Taman Puncak Utama, Balakong, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa KS Sanvan, 31, terpaksa menanggung kesakitan apabila luka yang dialaminya hingga ke bahagian tulang.
Difahamkan, kumpulan penjenayah terbabit mengambil kesempatan masuk melalui pintu depan yang terbuka kerana ibu mangsa berusia 55 tahun ketika itu rumah sedang menjemur pakaian di luar rumah.
Menceritakan semula kejadian itu, Sanvan berkata, ketika itu dia berada di dalam bilik tingkat atas rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi bising.
“Saya ingatkan ibu saya jatuh dan mahu turun melihatnya namun sebaik membuka pintu bilik saya terkejut apabila mendapati tiga lelaki meluru masuk ke dalam bilik dan mengarahkan saya duduk.
“Ketika itu, saya merayu supaya tidak dicederakan sebelum menyerahkan rantai dan cincin emas kepada mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sanvan berkata, penjenayah terbabit masih tidak berpuas hati dan memintanya menyerahkan lagi barangan lain sebelum melibas parang ke lengannya.
“Suspek menggeledah almari dan melarikan barangan kemas ibu saya bernilai lebih RM40,000 sebelum melarikan diri.
“Selain itu, turut dilarikan dua telefon bimbit, wang tunai RM180 serta syiling berjumlah RM800 dan kad bank,” katanya.
Dia kemudiannya dibawa jirannya ke Hospital Pakar Kajang untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang pada hari sama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

AWAS: ‘Penyelenggara Penghawa Dingin’ kebas RM5,000

Gambar hiasan
Klang: Seorang lelaki menyamar sebagai penyelenggara penghawa dingin sebelum melarikan pelbagai barangan berharga milik sebuah keluarga mengakibatkan kerugian RM5,000, dalam kejadian di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek memperdayakan seorang remaja perempuan yang tinggal bersendirian menyebabkan dia bukan saja dibenarkan masuk ke rumah malah ke bilik utama pemilik rumah itu.
Difahamkan, pada mulanya anak perempuan mangsa berusia 17 tahun tidak mengesyaki apa-apa, namun selepas mendapati suspek masuk ke rumah selama beberapa minit, dia mula mengesyaki apabila lelaki itu bergegas keluar dari bilik tergesa-gesa.
Remaja berkenaan melakukan pemeriksaan dalam bilik ibu bapanya sebelum mendapati pintu almari dan kotak berisi barang kemas termasuk rantai, rantai tangan, gelang tangan, cincin, subang dan loket emas ibunya lesap.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat (gambar) ketika mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, kejadian laporan kejadian itu dibuat seorang lelaki berusia 38 tahun di Balai Polis Bandar Baru Klang, awal pagi semalam.
Sumber:Mymetro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...