Rabu, 2 Mac 2011

Geng Mamat di Tawau tumpas

KOTA KINABALU - Polis Sabah menumpaskan kumpulan perompak bersenjata dikenali “Geng Mamat”, yang beroperasi di negeri itu dan di Semenanjung Malaysia sejak dua tahun lepas, dengan penahanan lima anggota itu di Tawau, bahagian pantai timur Sabah, dua minggu lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kelima-lima perompak warga asing berumur antara 22 dan 27 tahun itu dipercayai terlibat dalam 28 kes rompakan termasuk lima kes di Johor, satu kes di Terengganu dan selebihnya berlaku di sekitar Tawau.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata, anggota kumpulan itu diberkas dalam operasi Ops Rantau di kawasan perkampungan Jambatan Putih, Kuhara, Tawau pada 14 Februari lepas, yang dilancarkan selepas mereka melakukan rompakan di sebuah rumah banglo di Taman Falma, dekat pusat bandar Tawau, dua hari sebelum itu. - Bernama

3 polis bantuan subahat culik

DICULIK...tiga mangsa culik warga Pakistan  yang diselamatkan.
ICULIK...tiga mangsa culik warga Pakistan yang diselamatkan.

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis bantuan yang bertugas di sebuah syarikat di ibu negara diberkas dalam beberapa serbuan minggu lalu kerana dipercayai bersubahat dengan satu kumpulan penculikan membabitkan warga Pakistan.

Ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu dipercayai bersubahat dengan kumpulan penculik yang didalangi warga Pakistan untuk menyamar sebagai polis dengan mereka berpura-pura memeriksa mangsa yang juga warga Pakistan sebelum menculik mereka.

Tempoh diskaun bayaran kompaun trafik dilanjut 10 Mac



PUTRAJAYA: Tempoh pemberian diskaun bagi bayaran kompaun kesalahan trafik yang tamat kelmarin dilanjutkan sehingga 10 Mac ini. 

Perkara ini diumumkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebentar tadi.


Tujuh tahun penjara, 10 sebatan

KOTA BHARU 1 Mac - Seorang pembantu kedai runcit, dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah, tahun lalu.

Hukuman ke atas Sahidan Mat Zain (gambar), 31, dijatuhkan oleh Hakim Zainal L. Salleh.

Bagaimanapun dua sahabatnya iaitu tertuduh pertama, Mohd. Zoriff Mat Zain, 26, dan tertuduh ketiga, Wan Mohd. Shahriel Wan Mohd. Noor, 25, bernasib baik apabila dibebaskan selepas pihak pendakwa menarik balik pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Sahidan didakwa memiliki 6.52 gram heroin pada pukul 5.15 petang, 28 Disember tahun lalu di Kampung Terusan Limbat, di sini.

Pencuri getah kena berkas

RAUB – Seorang daripada tiga lelaki berusia 50-an diberkas ketika sedang asyik mengutip getah buku di sebuah ladang dekat kawasan Bukit Kancil, Jalan Gesing, Semantan. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, pada jam lebih kurang 5 petang kelmarin, penyelia ladang bersama pekerjanya memberkas seorang lelaki yang melakukan jenayah curi getah dalam kawasan seliaannya. 

Menurutnya, semasa tangkapan dibuat, terdapat seguni getah buku yang siap dikutip dan suspek diserahkan kepada polis bersama barang kes untuk siasatan. 

Muda-mudi pesta dadah dicekup

SEBUAH hotel di Jalan Cheras, Kuala Lumpur yang disewa
sekumpulan 30 orang untuk berpesta menyambut hari jadi Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Keseronokan sekumpulan 30 orang termasuk lima wanita yang menyambut hari lahir dalam sebuah bilik hotel di Jalan Cheras di sini tidak berpanjangan apabila mereka ditahan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan pada pukul 4 pagi Sabtu lalu dibuat selepas polis menerima aduan mengenai bunyi bising dari salah sebuah bilik hotel di situ.
“Kita menghantar sepasukan polis selepas ada penghuni di hotel sama memaklumkan tidak tahan dengan bunyi bising dari bilik hotel yang disewa kumpulan tersebut,” kata beliau di sini semalam.

Pemandu teksi mati dengan 2 kesan tembakan

SANDAKAN – Seorang pemandu teksi ditemui mati dengan dua kesan tembakan di tapak pembinaan Universiti Malaysia Sabah di Batu 10 Jalan Sungai Batang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Junaidi Saman, 53, yang mati akibat ditembak di bawah dagu dan bawah kanan mulutnya dipercayai menggunakan pistol jenis kaliber .45.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam selepas seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu menemui mayat mangsa yang dalam keadaan tertiarap di tepi sebuah teksi.

Pusat dialisis rugi RM10,000

SKUDAI – Pusat Dialisis milik Persatuan Kebajikan Amal Lexin di Taman Ungku Tun Aminah, di sini kerugian hampir RM10,000 selepas dipecah masuk penjenayah dalam satu kejadian dipercayai berlaku awal pagi, kelmarin. 

Setiausahanya, Tan Kim Hong berkata, penjenayah dipercayai mengumpil salah satu pintu belakang premis sebelum menyelongkar bahagian pejabat Pusat dialisis di tingkat dua dan sempat melarikan beberapa barangan berharga serta wang tunai. 

“Penjenayah berjaya memasuki ruang pejabat meskipun berkunci dan melarikan wang tunai sebanyak RM5,000 selain empat skrin komputer dan tiga unit kamera pelbagai jenama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. 

Cubaan guna lorong tikus gagal

PELABUHAN KLANG - Tindakan sekumpulan remaja merempit cuba melarikan diri melalui ‘lorong tikus’ gagal apabila mereka berjaya ditahan Pasukan Penguat kuasa Balai Trafik Klang Selatan yang mengejar mereka sejauh beberapa kilometer, awal pagi semalam. 

Pegawai Penguat kuasa Operasi Balai Trafik Klang Selatan, Cif Inspektor Zulkifli Hashim berkata, pihaknya bersama lapan anggota mengejar kumpulan terbabit hingga memasuki jalan mati. 

“Bagaimanapun ketangkasan pasukan kita, akhirnya sembilan remaja yang masing-masing berusia belasan tahun itu berjaya ditahan,” katanya. 

Berat disangka banyak duit

CHUKAI - Sebuah peti besi seberat lebih 100 kilogram milik sebuah syarikat insurans di Jalan Da’ Omar, dekat sini, dilarikan penyamun selepas pejabat syarikat berkenaan dipecah masuk dalam kejadian awal pagi kelmarin. 

Mungkin kerana menyangka peti besi itu mengandungi banyak wang, penyamun terbabit hanya bertindak melarikan peti besi sahaja tanpa mengambil barang berharga lain termasuk komputer, projektor dan kamera video yang turut berada dalam pejabat berkenaan. 

Bagaimanapun, peti besi itu hanya mengandungi tunai kira-kira RM300, 15 keping geran kenderaan dan dokumen lain. 

17.3 juta saman tidak dijelas akan disenaraihitamkan

KUALA LUMPUR 1 Mac – Sebanyak 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pesalah lalu lintas akan disenaraihitamkan bermula hari ini.

Langkah menyenaraihitamkan kesemua jumlah saman itu dibuat berikutan kegagalan pesalah trafik menyelesaikan saman mereka selepas tempoh yang ditetapkan sejak Ogos tahun lalu berakhir semalam.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof bagaimanapun berkata, daripada 49.4 juta jumlah saman yang dikeluarkan itu, sebanyak 31.9 juta saman telah dibayar oleh para pengguna.

“Bagi pengguna lalu lintas yang masih belum menjelaskan saman tertunggak bagi semua kesalahan, mereka akan disenarai hitam bermula hari ini.

“Pengguna yang enggan membayar saman tertunggak selepas tarikh semalam perlu bersedia menerima implikasi jika disenarai hitam,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Rosmah suruh PDRM siasat, dari mana bocornya rahsia rahsia beliau?

Berita | Bekas wartawan Harakahdaily dihubungi Polis lewat petang tadi kerana dipercayai mengaitkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika melaporkan suatu skandal membabitkan Perkorporatan Lembaga Kemajuan Perindustrian (MIDA) pada Julai dan Ogos dua tahun lalu. 

Dzulfikar Mashoor atau nama sebenarnya Zainulfaqar Yaacob dipanggil membantu siasatan ekoran dari dua laporannya – Pengkorporatan MIDA dalam proses, tetapi…bertarikh 9 Julai 2009 dan MIDA diselubungi rasuah selepas dikorporat? bertarikh 17 Ogos tahun yang sama di sesawang media milikan PAS. 

Sehingga kini, kedua-dua laporan tersebut masih boleh diakses di Harakahdaily. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...