Rabu, 2 Mac 2011

Tujuh tahun penjara, 10 sebatan

KOTA BHARU 1 Mac - Seorang pembantu kedai runcit, dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah, tahun lalu.

Hukuman ke atas Sahidan Mat Zain (gambar), 31, dijatuhkan oleh Hakim Zainal L. Salleh.

Bagaimanapun dua sahabatnya iaitu tertuduh pertama, Mohd. Zoriff Mat Zain, 26, dan tertuduh ketiga, Wan Mohd. Shahriel Wan Mohd. Noor, 25, bernasib baik apabila dibebaskan selepas pihak pendakwa menarik balik pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Sahidan didakwa memiliki 6.52 gram heroin pada pukul 5.15 petang, 28 Disember tahun lalu di Kampung Terusan Limbat, di sini.


Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Sahidan dipenjarakan tujuh tahun dan sebatan 10 kali untuk kesalahan itu.  Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didapati memiliki 0.38 gram heroin dan 0.10 gram methamphetamine pada hari, masa dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama bagi kedua-dua pertuduhan itu.  Setiap pertuduhan tersebut, dia dihukum penjara setahun yang berjalan secara serentak.

Sahidan yang diwakili peguam Latifah Ariffin merayu hukuman ringan kerana telah insaf selain ia kesalahan pertamanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.  

Zainal dalam penghakimannya bagaimanapun menegaskan, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius kerana membabitkan penyalahgunaan dadah.

''Walaupun mahkamah mempertimbangkan hujah peguam, namun kes dadah adalah serius,'' katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...