Rabu, 2 Mac 2011

Berat disangka banyak duit

CHUKAI - Sebuah peti besi seberat lebih 100 kilogram milik sebuah syarikat insurans di Jalan Da’ Omar, dekat sini, dilarikan penyamun selepas pejabat syarikat berkenaan dipecah masuk dalam kejadian awal pagi kelmarin. 

Mungkin kerana menyangka peti besi itu mengandungi banyak wang, penyamun terbabit hanya bertindak melarikan peti besi sahaja tanpa mengambil barang berharga lain termasuk komputer, projektor dan kamera video yang turut berada dalam pejabat berkenaan. 

Bagaimanapun, peti besi itu hanya mengandungi tunai kira-kira RM300, 15 keping geran kenderaan dan dokumen lain. 
Mangsa yang juga pemilik syarikat, Azmi Ismail, 43, berkata, penyamun dipercayai sudah lama merancang untuk mencuri peti besi itu berikutan tiada kesan geledah dan hanya melarikan peti besi. 

“Pada pagi kejadian, saya keluar dari pejabat kira-kira jam 3 pagi dan saya kunci pejabat seperti biasa untuk pulang ke rumah. 

“Bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 pagi saya menerima panggi-lan telefon daripada jiran sebelah pejabat, mengatakan dia melihat salah satu cermin pintu hadapan pejabat saya pecah dengan pintu ternganga,” katanya semalam. 

Azmi berkata, sebaik menerima panggilan itu, dia bergegas ke pejabatnya dan selepas diperiksa dia mendapati peti besi di bawah meja yang mengandungi geran kereta, motosikal, wang berjumlah RM300 serta beberapa dokumen lain sudah tiada. 

“Saya percaya penyamun mungkin masuk dengan memulas tombol pintu selepas memecahkan cermin pintu berkenaan. 

“Saya juga mengandaikan suspek adalah orang yang selalu datang ke pejabat ini,” katanya. 

Menurutnya, sebelum kejadian itu disedari, kira-kira jam 5 pagi, seorang lagi jirannya yang juga warga Thailand mendengar bunyi geseran yang agak kuat seolah-olah seperti ada orang sedang menarik benda berat. 

“Mungkin ketika itu suspek sedang berusaha melarikan peti besi berkenaan. 

“Namun, peti besi berkenaan sangat berat, justeru saya mengandaikan bukan seorang yang terbabit tetapi mungkin berdua atau bertiga,” katanya. 

Berikutan kejadian itu, mangsa menanggung kerugian kira-kira RM7,300 kerana perlu membuat semula geran kenderaan yang hilang. 

“Agak rumit untuk membuat semula geran berkenaan kerana ramai pemilik kereta terbabit tidak lagi tinggal di sini dan saya perlukan semula semua geran berkenaan. 

“Justeru, saya harap kedai pemateri besi atau kedai besi buruk yang didatangi orang yang mahu menjual atau membuka peti besi diharap dapat menghubungi saya menerusi talian 013-921 1711 atau menghubungi polis,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit dengan kes itu dan tindakan lanjut sedang dijalankan. 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangu-nan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...