Rabu, 18 Oktober 2017

SUSPEK HIMPIT KERETA PERONDA, KOPERAL PATAH BAHU

BAGAN SERAI, 18 Okt — Dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Elite Pulau Pinang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas akibat dihimpit sebuah kereta penjenayah di susur masuk tol Alor Pongsu arah utara dekat sini, awal pagi tadi.
Anggota berkenaan koperal Nelson Mateo Anak Kasin, 34, patah bahu kiri dan koperal Mohd Haizrul Mohamed Lazin, 36, cedera di dagu, manakala seorang lagi anggota koperal Mohd Khairul Akmar Roshmi, 33, yang duduk di bahagian belakang kereta MPV itu tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaakob berkata dalam kejadian 2.20 pagi itu, tiga anggota polis berkenaan dan beberapa buah lagi kenderaan polis sedang mengejar seorang suspek lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira.
Katanya suspek melarikan diri dari Pulau Pinang dengan memandu kereta melepasi beberapa plaza tol dari Juru ke Kuala Kangsar sebelum berpatah balik di Plaza Tol Alor Pongsu.
“Siasatan mendapati kereta suspek telah menghimpit kereta MPV anggota berkenaan sehingga menyebabkannya terbabas melanggar pembahagi jalan di susur masuk Plaza Tol Alor Pongsu.
“Kereta suspek kemudiannya terbabas ke dalam parit di Jalan Selama dan cuba melarikan diri ke ladang kelapa sawit tetapi akhirnya berjaya ditahan dalam satu pergelutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Omar Bakhtiar berkata pemeriksaan terhadap suspek berumur 27 tahun menemukan satu paket berwarna merah dan perak mengandungi 10 biji pil eramin 5 serta dua plastik kecil masing-masing disyaki syabu serta ketamin.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan suspek juga akan dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya. — Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...