PASIR GUDANG - “Saya menyesal dan bertaubat. Walaupun saya tahu ah long bahaya, tetapi masa itu saya buntu sehingga tak mampu nak fikir panjang untuk mencari duit membayar hutang kad kredit,” kata seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Ain.
Dia yang berumur lewat 30-an berkata, segalanya bermula ketika dikunjungi pihak bank hujung tahun lepas yang menuntut bayaran kad kredit sebagai modal perniagaan jualan langsung berjumlah RM5,000.
Menurutnya, dalam kekusutan mencari jalan penyelesaian, seorang rakan memperkenalkannya kepada seorang lelaki yang dikatakan boleh membantu memberinya pinjaman wang.
“Saya takut selepas pihak bank kata kena ke mahkamah kalau masih tak dapat bayar sehingga saya tak fikir panjang meminjam dari lelaki berkenaan sebanyak RM1,000, tetapi hanya dapat RM600 sahaja.
“Saya hanya nak ubah hidup keluarga dengan memulakan perniagaan, tapi tak sangka telah memerangkap saya dalam keadaan bahaya begini,” katanya yang ditemui Sinar Harian di Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, di sini, semalam.