Rabu, 1 Ogos 2012

Pengetua wanita bergelut dengan peragut


Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang wanita yang juga pengetua sebuah sekolah berusia 51 tahun serta membawa senaskhah al-Quran ketika keluar membeli belah di kedai buku di sini terselamat dari diragut apabila dia dibantu orang ramai dalam  kejadian di Jalan Maju di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa memegang al-Quran di tangan kanannya sementara beg tangan digalas di bahu kiri.

Dia yang berjalan menuju ke tempat letak kereta tidak jauh dari kedai buku itu  bagaimanapun dihampiri dua lelaki sebelum pemboncengnya meragut beg tangan wanita itu.

Ketua Polis Daerah, Asistan Komisioner Azham Othman berkata, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan lelaki berusia 21 tahun itu terjatuh dari motosikal dinaiki.
“Orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian membantu mangsa dan menahan suspek, bagaimanapun rakannya itu berjaya melarikan diri dengan memecut motosikal jenis Yamaha 125Z.

“Beg tangan mangsa selamat dan dia hanya mengalami luka kecil di pergelangan tangan dan siku,” katanya kepada Sinar Harian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Azham berkata, suspek yang berasal dari Pasir Pekan, Tumpat kini ditahan reman manakala rakannya diminta tampil untuk membantu
siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...