NARATHIWAT, 28 Julai (Bernama) -- Ketibaan 1 Syawal di
selatan Thailand dicemari beberapa insiden keganasan yang meragut
sekurang-kurang enam nyawa manakala lapan orang cedera.
Di Narathiwat,
seorang anggota tentera dan tiga anggota puak pemisah maut dalam pertempuran.
Kejadian berlaku pada kira-kira 11 pagi tadi apabila puak
pemisah menyerang seorang polis yang ketika itu dalam perjalanan pulang untuk
berhari raya bersama keluarga di daerah Rusok, menurut Leftenan General Polis
Suchat Tirasawat.
Anggota tentera yang
tinggal berdekatan lokasi kejadian kemudian membantu anggota polis berkenaan,
yang cedera ditembak, sehingga berlaku pertempuran sengit selama setengah jam,
kata Suchat yang merupakan Timbalan Ketua Polis Wilayah Sempadan Selatan.