SKUDAI – Pusat Dialisis milik Persatuan Kebajikan Amal Lexin di Taman Ungku Tun Aminah, di sini kerugian hampir RM10,000 selepas dipecah masuk penjenayah dalam satu kejadian dipercayai berlaku awal pagi, kelmarin.
Setiausahanya, Tan Kim Hong berkata, penjenayah dipercayai mengumpil salah satu pintu belakang premis sebelum menyelongkar bahagian pejabat Pusat dialisis di tingkat dua dan sempat melarikan beberapa barangan berharga serta wang tunai.
“Penjenayah berjaya memasuki ruang pejabat meskipun berkunci dan melarikan wang tunai sebanyak RM5,000 selain empat skrin komputer dan tiga unit kamera pelbagai jenama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.