Selasa, 17 Julai 2012

Warga emas rugi RM 10,000 rumah dipecah masuk


MELAKA - Seorang warga emas kerugian lebih RM10,000 apabila kereta dan dokumen penting termasuk geran tanah, rumah dan sijil pelaburan bank dilarikan perompak yang memecah masuk kediamannya di Taman Sutera Seksyen 2 Batu Berendam di sini.
Mangsa, Rahim Baba, 80, seorang warga Singapura berkata ketika kejadian dia tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian tersebut sebaik pulang dari republik itu kira-kira 2.30 petang  semalam.
Pesara kerajaan itu berkata suspek dipercayai menyelinap masuk dengan memotong pagar besi tingkap sebelum mengeledah rumah teres dua tingkat tersebut.
"Saya memang menetap di Singapura namun pulang sebulan sekali ke rumah saya untuk menguruskan hal-hal penting termasuk pembayaran bil air dan elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Rahim yang lahir di Alor Gajah dekat sini berkata sebelum pulang ke Singapura dua minggu lepas, dia telah memastikan pintu rumah berkunci termasuk meletak kereta di garaj rumahnya.
Namun setibanya di rumah, beliau berkata kereta miliknya tiada di garaj dan mendapati keadaan rumahnya berselerak selain mempunyai kesan potong di pagar besi tingkap bilik belakang.
Rahim yang telah menetap kira-kira 20 tahun di taman tersebut kemudian membuat laporan melalui talian Rakan Cop berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Muhammad Koey Abdullah mengesahkan kejadian itu. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...