Selasa, 8 Mac 2011

Amah dicabul selepas rumah majikan disamun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan bukan sahaja menyamun malah mencabul seorang pembantu rumah warga asing dalam kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Budiman, Cheras, di sini hari ini. 


Ketua Polis Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh, berkata ketika kejadian 8.30 pagi itu, majikan pembantu rumah berumur 23 tahun itu keluar bekerja.


"Ketika kejadian, mangsa sedang mengemas rumah dan tiba-tiba didatangi suspek berumur dalam lingkungan 20-an yang masuk melalui pintu hadapan lalu mengacukan pisau dan terus mengikat mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata setelah menggeledah rumah teres dua tingkat itu, suspek menyamun lima telefon bimbit pelbagai jenis, sebuah kamera serta wang tunai RM200 yang semuanya dianggarkan bernilai RM6,000. 


"Selepas menyamun, suspek sempat mencabul mangsa dengan mencium dan meraba-raba badan mangsa," katanya. 

Mohan berkata, mangsa kemudian dapat membuka ikatan itu dan terus menghubungi majikannya yang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...