Selasa, 8 Mac 2011

Samun treler: Pemandu lori parah ditetak

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kejadian pemandu lori diculik dan disamun semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Pada Jumaat lalu, dua pemandu lori dilaporkan menjadi mangsa samun dan culik sekumpulan lelaki di Bandar Baru Bangi dan di Pekan Batu Gajah, Perak.

Namun, kedua-dua mangsa bernasib baik apabila dibebaskan selain tidak mengalami kecederaan selepas disamun.

Semalam, seorang lagi pemandu lori mengalami nasib yang sama tetapi kali ini, mangsa cedera parah selepas ditikam di perut dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian berlaku pukul 1 pagi ketika mangsa, Lee Kuan Hee, 47, memandu treler jenis Scania membawa muatan besi dari Kuantan, Pahang menghala ke ibu negara.


Beliau berkata, setibanya di Kilometer 29.5, Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur, dua lelaki bertopeng bertindak menghalang kenderaan mangsa dan menyamunnya.

"Selepas menikam mangsa, penjenayah itu bertindak melarikan diri bersama telefon bimbit dan treler berisi muatan besi sepanjang 12 meter bernilai RM200,000.

"Besi yang diikat dalam beberapa ikatan itu adalah milik projek Kuala Lumpur Sentral," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, Kuan Hee yang dicampak di tepi lebuh raya bernasib baik apabila ditemui oleh pemandu lain yang kebetulan melalui tempat kejadian tidak lama selepas itu.

Pengguna lebuh raya terbabit kemudian menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian itu dan mangsa dihantar oleh ambulans ke Hospital Selayang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...