Selasa, 8 Mac 2011

Kompleks jadi sarang penagih

ALOR GAJAH - Kompleks Institut Pendidikan Menggong, dekat sini, yang kini terbiar tanpa diselenggarakan dengan baik mendatangkan kebimbangan kepada penduduk sekitar kawasan. 

Kompleks tersebut yang terletak di Solok Menggong dikelilingi kawasan ladang kelapa sawit menambahkan lagi kebimbangan penduduk kerana kurangnya pengguna jalan raya yang melalui jalan terbabit terutama pada waktu malam. 

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Zailan Ismail, 40-an berkata, kompleks terbabit yang terbiar sejak dua tahun lalu menyebabkan golongan penagih dan pencuri mengambil kesempatan mencuri barangan yang terdapat di situ. 
“Disebabkan kawasan di situ terbiar, cermin, bingkai besi tingkap dan wayar dicuri pihak tidak bertanggungjawab. 

“Malah, di sini juga menjadi sarang penagih dadah pada waktu malam. Meskipun ada pihak yang membersihkan kawasan tersebut, namun masih tiada siapa yang memantaunya,” katanya. 

Menurutnya, lebih baik sekiranya kompleks tersebut yang menempatkan kira-kira 20 rumah disewakan kepada pekerja ladang sawit kerana ada antara mereka yang tinggal jauh. 

“Kompleks itu juga sudah pastinya menjadi penempatan binatang berbisa dan mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat. 

“Jika disewakan sekurang-kurangnya ada yang menjaga kawasan itu dari penuh dengan semak dan lalang,” katanya. 

Zailan menambah, kebimbangan semakin menjadi-jadi terutama pada waktu malam. 

“Jika pengguna mengalami kerosakan kenderaan pasti memerlukan bantuan.: 

“Jalan ini juga menjadi laluan orang luar dan ia pasti mendatangkan persepsi negatif terhadap pembangunan di kawasan ini,” katanya. 

Menurutnya lagi, berharap ada pihak yang turun padang memantau kompleks terbabit supaya dapat dibangunkan semula. 

“Ini dapat menghidupkan suasana di kawasan berkenaan sekali gus memberi peluang kepada mana-mana pihak yang ingin menyewa,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...