SERI ISKANDAR - Sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Perak Tengah berjaya merampas sebanyak 90 bungkus air daun ketum dalam Ops Tapis yang dilakukan 2 Mac lalu di Kampung Gajah, di sini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan seorang penjual air ketum berjaya diberkas setelah pihaknya membuat intipan.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan pada jam 2.45 petang itu, suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memegang satu bungkusan plastik hitam yang disembunyikan di celah pelepah kelapa sawit.
“Tindakan pantas polis berjaya menangkap lelaki ini dan pemeriksaan ke atas plastik hitam itu menunjukkan 90 peket plastik diikat dengan getah berisi cecair yang disyaki air daun ketum,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohamad Fakri berkata, air daun ketum berkenaan siap di peket dan dianggarkan berharga RM3 sepeket hanya menanti masa untuk dijual kepada pembeli tempatan.
“Kita percaya suspek memproses sendiri daun ketum ini yang diperoleh di kawasan sekitar,” katanya.
Katanya, suspek boleh dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 33 Akta Racun 1952 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 dan penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan lain, pihaknyan mengadakan Operasi Jenayah Bersepadu yang melibatkan semua jabatan polis.
Menurutnya, pada 16 Januari lalu pihaknya mengadakan operasi di kawasan Kampung Gajah dan berjaya menangkap seramai 43 suspek penagih dadah dan dalam ujian saringan awal seramai 28 suspek didapati positif dadah.
“Di Parit pula kita berjaya menangkap seramai 23 suspek penagih dadah dan ujian saringan awal mendapati kesemua mereka positif dadah dalam operasi yang diadakan 18 Januari lalu.
“Dalam operasi sama, kita berjaya menangkap tiga suspek bersama dadah jenis heroin seberat 8.07 gram,” katanya.
Katanya, operasi seumpama itu akan dijalankan sekerap mungkin bagi mengurangkan masalah penagihan dadah dan seterusnya mengurangkan masalah jenayah.
“Kita khuatir bukan sahaja golongan dewasa yang terlibat dengan najis dadah ini tetapi golongan pelajar sekolah.
“Saya mengingatkan agar masyarakat tidak mendekatkan diri dengan najis dadah kerana boleh membawa kepada pelbagai masalah lain,” katanya.