KEMAMAN – Tindakan seorang anggota pasukan penyelamat menarik sebatang kayu dari dasar jeram memecah kebuntuan misi mencari dan menyelamat remaja lelaki berumur 19 tahun yang dikhuatiri lemas Jumaat lalu di Pusat Perkelahan dan Rekreasi Air Terjun Jeram Gajah, Air Putih, di sini.
Ini sebab, tindakan itu rupa-rupanya menyebabkan jasad mangsa timbul ke permukaan air.
Mayat mangsa yang tersangkut pada kayu berkenaan terapung di permukaan air sejurus kayu itu ditarik kira-kira jam 1.50 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam misi mencari dan menyelamat yang masuk hari keempat itu, mayat mangsa yang juga penuntut sebuah kolej swasta di daerah ini ditemui di kawasan jeram tidak jauh daripada lokasi dia terjatuh selepas ditarik arus deras.
“Pasukan mencari dan menyelamat memulakan operasi pada hari keempat iaitu kira-kira jam 9 pagi.
“Usaha menyelam turut diteruskan di sekitar lokasi mangsa dikhuatiri ditarik arus deras dan sekitar jam 1.50 tengah hari misi ini berjaya apabila mayat mangsa timbul selepas pasukan penyelamat menarik sebatang kayu dari dasar jeram,” katanya.
Menurutnya, misi mencari dan menyelamat itu dilakukan secara bersepadu oleh polis bersama Unit Skuba Pasukan Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penduduk kampung.Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Sementara itu, dalam kejadian 4 Februari lalu, mangsa bersama empat lagi rakan sekolej mandi di pusat perkelahan itu.
Bagaimanapun, kira-kira jam 5.20 petang ketika leka berenang mangsa secara tiba-tiba ditarik arus deras sebelum rakannya yang melihat kejadian itu cuba membantu dengan mencapai tangan mangsa.
Namun, air yang terlalu deras menyebabkan genggaman tangan rakannya itu terlucut dan mangsa hanyut serta terjatuh dalam kawasan jeram yang airnya berpusar serta dalam.