Mersing, 12 Julai –
Tindakan dua pemandu lori yang sedang leka memindahkan 70,000 liter minyak
diesel bersubsidi dari dua buah lori tangki ke empat buah bot kargo ikan yang
dipercayai untuk diseludup keluar berjaya ditahan oleh
Pasukan Polis Marin (PPM) di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau,
Mersing, malam kelmarin.
Komander PPM Wilayah Tiga, ACP Azmi
Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati pemandu lori dan pemilik bot disyaki
telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal
menunjukkan dokumen yang lengkap berkaitan kebenaran untuk menjalankan aktiviti
berkenaan.
"Dua pemandu lori warga tempatan dan 25 orang krew bot kargo warga Vietnam bersama rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," tambahnya.