KUALA LUMPUR 21 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kenyataan berbaur hasutan yang dibuat Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang sekali lagi mengajak rakyat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ceramahnya di Pantai Dalam, di sini semalam.
Kenyataan berbaur hasutan itu diulangi Tian Chua sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Biarpun sedang disiasat polis berhubung kes menghasut rakyat untuk menjatuhkan Perdana Menteri di jalanan menerusi akaun Twitternya sebelum ini, namun Tian Chua seolah-olah terus mempertikaikan keputusan mahkamah dan mendakwa hukuman terhadap Anwar telah dijatuhkan sendiri oleh Najib.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.
"Beliau (Tian Chua) seperti sengaja ingin mencabar undang-undang negara," katanya.
Malah beliau juga dengan sengaja menghasut rakyat untuk menjatuhkan Najib dalam tempoh lima bulan dengan mendakwa kononnya Perdana Menteri sedang mengisytiharkan perang terhadap pakatan pembangkang.
Pada 15 April lalu, telefon bimbit miliknya telah disita polis untuk membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.
Terbaharu semalam, Tian Chua dalam ceramahnya di Pantai Dalam sekali lagi mengulangi kenyataan yang sama serta mengakui tindakan yang pernah dikenakan ke atasnya malah tidak memberi sebarang kesan.