Jumaat, 18 April 2014

Dadah RM18 juta dirampas


KUALA LUMPUR 17 April - Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket dadah terbesar sejak awal tahun ini, melibatkan rampasan dadah jenis syabu bernilai RM18 juta.

Nilai tersebut melibatkan dadah seberat 125 kilogram yang dirampas menerusi tiga serbuan di Subang Jaya dan Melaka, kelmarin.

Turut ditahan lima lelaki terma-suk seorang warga Singapura berusia antara 21 dan 58 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 8.30 malam di sebuah pasar raya di Subang Jaya, pihak polis menangkap dua lelaki termasuk seorang rakyat Singapura.

"Ketika ditangkap, kedua-dua suspek sedang memunggah tiga guni dadah jenis syabu seberat 75 kilogram antara dua buah kereta di kawasan letak kenderaan.

"Susulan itu, polis menangkap seorang lagi suspek di dalam pasar raya berkenaan yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket terbabit.

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM20,000, hasil pemeriksaan tubuh ketiga-tiga suspek," katanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Pada 19 Februari lalu, satu sindiket memproses dan menjual dadah jenis syabu, ekstasi dan ganja berjaya ditum-paskan polis di Pulau Pinang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM11.56 juta dan turut menangkap enam lelaki.

Jumaat lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut mencatat kejayaan apabila mematahkan cubaan satu sindiket untuk menyeludup dadah jenis syabu seberat 67 kilogram dan bernilai RM13 juta menerusi MAS Kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Noor Rashid seterusnya memberitahu, dengan penangkapan tiga ahli sindiket berkenaan, polis membuat satu lagi serbuan ke atas sebuah rumah kedai di Taman Merdeka Permai, Ayer Keroh, Melaka, kira-kira pukul 11 malam hari yang sama.

Menurutnya, serbuan ke atas rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan dadah itu, polis merampas 50 kilogram syabu serta menangkap dua lagi suspek.

"Pihak kami percaya kesemua mereka aktif di bawah sindiket yang sama iaitu menyeludup dadah dari Afrika, Afghanistan dan India untuk diedarkan di pasaran tempatan dan serantau.

"Modus operandi yang digunakan untuk menyeludup masuk dadah berkenaan bersama barangan lain dengan menggunakan kargo dan kontena, menerusi jalan laut," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada awal pagi ini, mengucapkan syabas sekali lagi kepada STING atas kejayaan pasukan itu melumpuhkan sindiket terbabit melalui akaun Twitter miliknya.

Menurut Noor Rashid, kejayaan itu adalah hasil daripada intipan dan risikan yang dijalankan pasukan STING sejak awal tahun ini.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, menurut Noor Rashid, pihaknya percaya masih ada lagi saki baki ahli kumpulan itu yang masih bebas dan giat diburu oleh pihak polis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...