Selasa, 29 April 2014

Kenal pasti kawasan panas untuk atasi masalah jenayah remaja


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengenal pasti kawasan panas yang mempunyai kadar jenayah tinggi membabitkan golongan remaja bagi mengatasi masalah itu secara berkesan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Beliau berkata, pemilihan kawasan itu membolehkan punca peningkatan melebihi 100 peratus dalam statistik jenayah dalam kalangan remaja diketahui sebelum langkah sewajarnya diambil. 

"Kita mahu tahu apa yang menyebabkan berlakunya jenayah dalam kalangan remaja. Adakah ia berpunca daripada kekurangan kemudahan, pengawasan atau pendidikan. 

"Sebab itu kita akan pilih kawasan dengan kadar tinggi kejadian ini (jenayah membabitkan remaja)," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Pusat Sumber Pesakit oleh Yayasan Kesihatan Pink Ribbon di sini hari ini yang disempurnakan isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. 

Rohani juga memaklumkan pemilihan kawasan panas akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu memaklumkan jenayah membabitkan remaja berusia 18 tahun ke bawah semakin membimbangkan apabila meningkat sehingga 132 peratus pada 2013 berbanding 2012 dan murid seawal usia tujuh tahun sudah mula melakukan jenayah. 

- BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...