Jumaat, 25 April 2014

POLIS CADANG TEMPAT ANGGOTA DI PUSAT PERANGINAN SABAH



Kuala Lumpur, 25 April - Pihak polis bercadang menempatkan anggota di 11 pusat peranginan di Sabah bagi menghalang kemasukan penjenayah mahupun pihak luar yang cuba menyusup masuk melalui pantai timur negeri itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kehadiran anggota keselamatan di pusat-pusat peranginan itu adalah penting berikutan kedudukannya yang terletak berjauhan dan terpencil.

"Memandangkan kedudukannya yang luas dan jauh, susah untuk kami berikan respons dengan pantas. Dengan adanya pasukan keselamatan secara tetap di setiap pusat peranginan, sebarang jenayah dapat dielakkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Panther 911 Central Monitoring System' di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meminta syarikat yang mengeluarkan sistem pemantauan keselamatan itu Digistar Holdings Sdn Bhd agar menyerahkan cadangan kepada pihak polis untuk diteliti dan diaplikasi di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Khalid berkata sistem itu boleh mengesan ketibaan penjenayah di perairan
Esscom.

Ia berfungsi seperti kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh diletak di pusat peranginan, yang sentiasa memantau perairan dan juga akan dihubungkan terus ke balai-balai polis berhampiran.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...