Khamis, 26 Julai 2012

Dua kereta dipecah masuk


TAIPING – Satu kejadian kecurian dalam kenderaan dilaporkan berlaku lewat tengah malam semalam melibatkan dua kereta di Jalan 3, Taman Sentosa, Pokok Assam.

Mangsa, Ong Yet Hon, 53, berkata, barangan di dalam kereta dicuri termasuk radio dan alat ganti tayar.

Menurutnya, kejadian berlaku lewat tengah malam memandangkan kawasan itu  agak gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan.

"Bukan saya seorang sahaja yang menjadi mangsa pecah kereta bahkan jiran saya juga mengalami situasi yang serupa," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi mangsa, Wong Hung @ Wong Kum Sek, 38, berkata, akibat kejadian itu mereka membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran dan turut memaklumkan kepada Penyelaras Dun Kawasan Pokok Assam Datuk Ho Cheng Wang agar masalah lampu jalan di sini diberi perhatian supaya kejadian serupa tidak berulang.

“Kami berharap ada tindakan susulan daripada pihak berkenaan supaya kes kecurian di sini dapat dihentikan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dun Kawasan Pokok Assam Datuk Ho Cheng Wang berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk di Taman Sentosa di mana terdapat dua kereta dipecah masuk dan kehilangan barangan di dalam kenderaan.

Pada sidang Media pagi tadi, Cheng Wang berkata, beliau akan membuat permohonan memasang lampu jalan di Jalan 3, Taman Sentosa yang dimaklumkan penduduk bahawa kawasan jalan itu gelap.

“Saya akan menulis surat kepada polis agar dapat membuat rondaan di kawasan taman tersebut dengan lebih kerap kerana kelakuan jenayah dilaporkan semakin meruncing sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Superintendan Yusof Mohd Diah berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu.

Katanya, polis juga akan turun padang untuk bertemu penduduk dan meminta mangsa serta saksi tampil memberi maklumat agar jenayah pecah kereta dapat diselesaikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...