MUADZAM SHAH - Kira-kira 200 penduduk di sini termasuk dari Rompin dan Keratong mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat, kelmarin, untuk mendesak pihak berkuasa menutup empat premis judi siber di Bandar Industri Muadzam Shah.
Perhimpunan dianjurkan Pas, PKR, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Al-Fateh dan Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teratai itu diadakan di pekarangan Masjid Muadzam Shah.
Laungan takbir ‘Allahuakbar’, ‘hidup-hidup Islam, hapus-hapus judi’ serta ucapan pemimpin politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit bergema lebih kurang 40 minit.
Penduduk yang turut kesal dengan kewujudan pusat judi haram di sini bukan saja melaungkan takbir beramai-ramai, malah turut menzahirkan kemarahan dengan menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai tanda bantahan.
Meskipun cuaca panas terik di samping bantahan diadakan pada bulan Ramadan, namun ia tidak menghalang semangat umat Islam untuk berarak sejauh kira-kira dua kilometer (km) menuju ke Pejabat Cawangan Majlis Daerah Rompin (MDR) Muadzam Shah bagi menyerahkan memorandum bantahan.