Selasa, 22 Oktober 2013

Rela diberi kepercayaan bantu tangani kes jenayah

Rela diberi kepercayaan bantu tangani kes jenayah
GUA MUSANG - Rela bukan lagi pasukan yang boleh dipandang rendah masyarakat, sebaliknya semakin berada di kedudukan yang tinggi dalam membantu kerajaan menangani jenayah setelah diberi pengiktirafan sebagai pasukan yang boleh diberi kepercayaan untuk bersama polis dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan.

Adun Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani berkata, anggota Rela juga mempunyai bilangan yang ramai, bukan sahaja di seluruh negara, tetapi di daerah dan negeri.

Menurutnya, mereka mampu memikul tanggungjawab itu bersama polis dan pasukan keselamatan yang lain dalam menjalankan tugas menangani jenayah.
“Pasukan itu juga semakin mendapat sambutan belia untuk menyertainya dan sekali gus mendisiplinkan mereka dalam pasukan keselamatan.

“Kalau dulu susah untuk mendaftarkan mereka yang berminat, tetapi sekarang mereka yang berminat bertambah puluhan kali ganda,” katanya pada perasmian Kursus Pengenalan Rela Daerah Gua Musang Siri 1/2013 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah, dekat sini.

Mat Yusoff berkata, kini semakin ramai dalam kalangan pemuda Orang Asli menyertai Rela kerana minat mereka untuk membantu kerajaan menjaga keselamatan.

Katanya, komitmen yang tinggi dari kalangan mereka itu sudah menunjukkan sikap keterbukaan dalam kemajuan negara walaupun mereka tinggal jauh di pedalaman.

“Penduduk berbilang kaum harus menghargai keamanan yang dinikmati sekarang dan jagalah dengan baik supaya keadaan seperti ini terus berkekalan.

“Kerajaan bersama pasukan keselamatan sentiasa memberi keutamaan dalam menjaga keamanan negara kerana tidak mahu rakyat tertekan dengan pelbagai masalah hidup,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...