PULAU PINANG 14 Okt. - Seorang pemungut hutang mati terkena tembakan selepas terlibat dalam pergaduhan dengan dua anggota polis di sebuah kelab malam di Auto City Juru di Bukit Mertajam awal pagi ini.
Mangsa, Kang Seok Xiong, 39, disahkan mati selepas dua jam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas ditembak dalam kejadian pukul 2.20 pagi.
Ekoran insiden itu, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Sarjan telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes tembak berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kedua-dua anggota polis yang berusia 30-an dan 55 tahun itu masing-masing bertugas di Kedah dan Johor.
"Polis turut menemui sepucuk pistol jenis automatik milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama anggota polis terbabit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, pada pukul 2.30 pagi ini, anggota dari Balai Polis Bukit Tengah telah menerima laporan mengenai kejadian tembakan berlaku kira-kira pukul 2.20 pagi di pusat hiburan berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek di ruang minum pusat hiburan tersebut sebelum suspek diserang oleh mangsa dan beberapa rakannya.
"Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan yang mengenai perut mangsa mengakibatkan dia meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HSJ kira-kira pukul 3.40 pagi," katanya.
Abdul Rahim berkata, polis turut menemui satu kelongsong peluru jenis 9 mm dan sebutir peluru hidup di dalam pusat hiburan itu.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat hiburan itu menunjukkan kelibat lelaki Melayu masuk ke premis itu dan berlaku pergelutan.
Tambahnya, motif kejadian belum dikenal pasti tetapi pihaknya telah menahan reman kedua-dua suspek termasuk seorang wanita yang bekerja di sebuah pusat kecergasan mulai hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Mangsa yang berasal dari Nibong Tebal didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Ordinan Darurat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis juga masih menyiasat sama ada mangsa atau suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.