Sabtu, 12 Oktober 2013

TINDAKAN YANG TEPAT DILAKUKAN OLEH PDRM KE ATAS PENJENAYAH GANAS

Hadi Ho
KUALA LUMPUR - Polis hari ini menafikan dakwaan mereka tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan melepaskan tembakan sewenang-wenangnya ketika berdepan penjenayah.

Sebaliknya kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, mereka perlu mematuhi SOP yang ketat terutama berkaitan penggunaan senjata api.

"Akan tetapi jika penjenayah melepaskan tembakan ke arah polis, takkan polis nak tunggu sahaja, mestilah polis pertahankan diri dengan bertindak menembak penjenayah," katanya dalam sidang media, di sini.

Sebuah portal berita melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu taklimat keselamatan tertutup bersama pemimpin masyarakat Sabtu lepas, dikatakan memberi gambaran bahawa lebih baik menembak suspek terlebih dahulu sebelum siasatan.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, sejak berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia 40 tahun lepas, beliau tidak pernah menerima arahan atau mendengar ada arahan "tembak dahulu, soal kemudian".

Beliau juga berkata, jika seseorang anggota polis itu didapati bersalah melanggar SOP, dia akan dituduh di mahkamah.

"Kami sering memberi amaran kepada penjenayah sebelum bertindak menembak, namun kedegilan penjenayah tidak akur arahan dan bertindak ganas terhadap  polis menyebabkan insiden tembakan berlaku," katanya.

Terdahulu, dalam sidang media bersama Presiden Persatuan Malaysia Hindu Sangam, Datuk R. S. Mohan Shan beliau berkata, polis akan bekerjasama dengan persatuan itu bagi menangani masalah jenayah dalam kalangan generasi muda India, termasuk mengadakan ceramah di kuil-kuil.


Hadi sebelum itu bertemu dengan Mohan Shan bagi membincangkan langkah mengekang masalah jenayah membabitkan remaja India di negara ini. – Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...