Khamis, 3 Oktober 2013

PDRM bakal dapat aset baharu, mantapkan peranan

PUTRAJAYA,2 Okt. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperoleh tujuh aset baharu dalam tempoh terdekat untuk memantapkan lagi tugasan pasukan itu.

Beliau berkata, aset berkenaan merupakan alat komunikasi dan teknologi maklumat serta peralatan bagi sistem pengumpulan penganalisaan maklumat jenayah, khusus untuk Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.

Selain itu, PDRM juga akan menerima peralatan tambahan forensik untuk mengukur keupayaan dan keberkesanan penyiasatan di tempat-tempat kejadian, katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri '3rd General Police and Special Equipment Exhibition and Conference Asia' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

"Selain itu sebanyak 1,000 lagi motosikal akan ditambah dalam kita mengetengahkan lagi unit rondaan bermotosikal untuk mecegah jenayah pecah rumah di taman-taman perumahan," katanya.

Khalid berkata, PDRM juga memerlukan kenderaan peronda jenis kereta pacuan empat roda untuk kegunaan di pantai timur Sabah bagi menangani masalah yang berlaku di sana.

"Untuk tempoh terdekat ini kita perlukan sekurang-kurangnya 10 kenderaan pacuan empat roda. Bukan berbentuk kereta perisai pengangkut tetapi trak pikup perisai yang sesuai untuk muka bumi di pantai timur Sabah," kata Khalid.

Menurutnya, keperluan lain termasuklah peralatan tambahan bagi mengukuhkan keselamatan di Sabah antaranya jaket kalis peluru, topi keledar balistik, senjata api, peluru dan kenderaan perisai.

Selain itu, PDRM juga akan membeli 30 lagi kuda tambahan untuk unit berkuda PDRM bertujuan mengawal rusuhan dan mencegah jenayah, katanya.

"Ini adalah usaha kita untuk memantapkan dan memodenkan lagi penugasan pasukan PDRM untuk tempoh jangka pendek melalui tujuh aset yang akan kita peroleh ini," katanya. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...